Petanque bantu bendung belia terlibat gejala sosial

MENCUBA… Datuk Dr. Abdul Rahman (tengah) beraksi membaling bola Petanque selepas merasmikan Kejohanan Petanque Double Terbuka Ambang Merdeka 2020 di Pusat Petanque Santubong semalam.

PETANQUE dilihat sebagai sukan yang mampu membendung generasi muda daripada terus terjebak dengan gejala tidak sihat seperti melepak.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, sukan yang berasal dari Perancis itu dapat dimainkan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Menurutnya, sukan juga tidak memerlukan kemahiran tinggi seperti sukan bola sepak, badminton, tenis dan golf yang lebih popular dan diminati oleh masyarakat

“oleh kerana sukan ini tidak memerlukan kemahiran tinggi untuk menyertainya,maka anak-anak mudakita boleh diajak terlibat dengan sukan petanque ini.

“Apabila anak-anak kita tidak terlibat dengan sukan, mereka mungkin akan cenderung untuk mengamalkan budaya tidak sihat termasuk melepak akibat pengaruh daripada keadaan sekeliling mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Petanque Double Terbuka Ambang Merdeka 2020 di Pusat Petanque Santubong semalam

Kejohanan dianjurkan oleh Perbadanan Sukan Sarawak itu disertai 50 pasukan dari Kuching, Betong, Sarikei, Saratok, Bintangor, Sibu, Midi dan Pasukan Petanque SUKMA Sarawak 2021.

Dr. Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU menjelaskan, sekiranya ramai masyarakat terlibat dengan petanque, Sarawak akan terus menjadi lubuk dalam melahirkan pemain berkaliber untuk sukan tersebut.

“Sarawak sejak sukan ini memasuki Malaysia tidak pernah gagal melahirkan pemain berkaliber diperingkat negeri dan kebangsaan.

“Kita mahu teruskan momentum ini terutama dikalangan pemain muda yang akan terlibat dengan Sukan Malaysia (SUKMA) 2021 di Johor dan tidak mustahil Sarawak mampu mengembalikan kegemilangan kali ini” ujarnya.

Mengulas mengenai pembinaan Pusat Petanque Santubong, Dr Abdul Rahman berkata, kampung nelayan tersebut dipilih sebagai lokasi pembinaannya memandangkan petanque merupakan sukan untuk semua lapisan masyarakat.

“Bukan itu sahaja, penduduk kampung ini yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur turut terlibat dengan sukan ini.

“Kampung ini sahaja mempunyai lebih dari 10 gelanggang petanque dan tidak pernah ketandusan melahirkan pemain berkaliber,” jelasnya.

Oleh Diyana Samsuddin