Perjelas dengan betul pembentukan Malaysia

RASMI PERHIMPUNAN… Datuk Amar Awang Tengah menerima bendera Jalur Gemilang daripada Normah sambil disaksi Morliah, Ir Ahmad Denney dan Ladin pada Program Merdeka@Komuniti Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia, Lawas semalam.

LAWAS: Rakyat negara ini perlu memahami 5 prinsip Rukun Negara yang merupakan roh dan jiwa negara Malaysia.

Malah fakta sebenar pembentukan negara Malaysia juga mesti diperjelaskan agar difahami oleh semua rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga adalah sebagai sijil kelahiran negara Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Sabah dan Sarawak.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak, mahu agar fakta pembentukan Malaysia itu dapat diperjelas dengan betul.

“Ini kerana masih ada rakyat hari ini yang masih kabur dan tidak faham tentang penubuhan Malaysia,” katanya ketika merasmikan program Merdeka@Komuniti Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia di sini semalam.

Hadir sama wakil Pengarah Penerangan, Normah Jaafar, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan kenamaan tempatan lainnya.

Awang Tengah mengingatkan rakyat tentang kejayaan warga negara Malaysia yang mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa dalam berbagai bidang termasuk ekonomi.

Pada masa sama, Awang Tengah menjelaskan mengenai melanjutkan arahan PKPP sehingga 31 Disember sebagai satu bukti keprihatinan pemimpin negara agar rakyat terus selamat daripada wabak Covid-19.

Ini adalah satu tindakan bertanggungjawab dalam usaha mengekang penularan dan memastikan rakyat membudayakan norma baharu menghadapi wabak Covid-19, katanya.

Oleh itu Awang Tengah menyeru seluruh rakyat supaya mensyukuri dan mengisi kemerdekaan dengan menjadi rakyat bermaruah dan lebih berjaya. Sementara itu, katanya, rakyat harus ingat tiga tarikh keramat iaitu 22 Julai sempena penurunan kuasa pemerintahan sendiri kerajaan Sarawak daripada belenggu penjajahan diikuti 16 September yang terbentuknya negara Malaysia dan 31 Ogos sempena kemerdekaan negara yang diperakui oleh negara.

Oleh Adeng Edrus