49 menara telekomunikasi di Puncak Borneo

TERUS KIBARKAN… Willlie Mongin (tengah) bersama tetamu yang lain mengibar Jalur Gemilang pada Program Merdeka@Komuniti Puncak Borneo Daerah Kuching 2020 di Dewan Serbaguna Kampung Peraya Padawan.

PADAWAN: Kawasan Puncak Borneo akan dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 49 menara telekomunikasi untuk meningkatkan liputan Internet di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin berkata, telah memohon sebanyak 20 menara telekomunikasi dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan lapan daripadanya telah siap dan sedang beroperasi, sementara 12 lagi masih dalam peringkat pembinaan

“Dua bulan lepas, saya telah bermesyuarat dengan SKMM Sarawak dan kita memohon untuk 10 menara tambahan di seluruh kawasan Puncak Borneo.

“Selain daripada itu, dengan kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, mereka mengarahkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk mengenal pasti 19 kawasan untuk membina menara telekomunikasi di kawasan Puncak Borneo, ” katanya.

Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berkata, kemudahan Internet satelit telah dibina bersama dengan ConnectMe melalui Measat di Kpg. Keru, Kpg. Bratan, Borneo Highland Resorts dan Kpg. Semuti untuk melengkapkan menara telekomunikasi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Merdeka@Komuniti P.198 Puncak Borneo Daerah Kuching 2020 di Dewan Serbaguna Kampung Peraya Padawan, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Willie turut menyatakan kekecewaannya kerana menara telekomunikasi di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) sering dirosakkan.

“Kami telah memperbaiki menara telekomunikasi sembilan kali dan hanya tiga minggu selepas itu, ia telah dirosakkan.

“Kami memandang serius berkaitan perkara ini, dan memberitahu polis untuk melakukan rondaan yang kerap dan juga bekerjasama dengan masyarakat setempat bagi menghentikan perbuatan salah laku itu,” ujarnya.

Hadir sama Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Denver Bantok mewakili Pengarah Penerangan Negeri Sarawak, Suwadi Guliling.

Oleh Cheryl Law