10 juta topeng muka dibawa masuk dari China

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 juta topeng muka daripada China akan dibawa masuk secara berfasa bagi menampung kekurangan bekalan dalam negara berikutan penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, secara dasarnya persetujuan telah dicapai dengan kerajaan China dan urus kerja untuk membawa masuk bekalan sedang diurus Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama syarikat penerbangan.

“Kami sedang muktamadkan di bawah Kementerian Pengangkutan… akan bermula secepat mungkin… urusan sudah dimuktamadkan, fasa pertama, berapa banyak dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, di sini semalam.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi mengumumkan harga siling topeng muka atau penutup mulut dan hidung dinaikkan daripada 80 sen kepada RM2 sekeping, selain membenarkan import barangan itu, susulan kekurangan bekalan di pasaran domestik.

Mengulas lanjut Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sebaik tiba pengagihan penutup mulut dan hidung dari China itu akan diurus Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Keutamaan agihan adalah kepada pasukan   barisan hadapan,   maknanya pihak-pihak yang menguruskan Covid-19, klinik, Kementerian Kesihatan di peringkat kebangsaan dan di peringkat negeri…(selain itu) polis, Imigresen dan tentera yang akan terlibat bersama pasukan barisan hadapan,” katanya.

Bekalan baharu itu katanya, hanya akan dibuka kepada pasaran untuk dibeli orang ramai sekiranya ada lebihan selepas diagihkan kepada pasukan barisan hadapan.

Untuk tujuan ini beliau berkata, ia juga akan diurus NADMA dengan kerjasama Pharmaniaga.

Mengenai harga siling baharu selepas bekalan baharu itu diperoleh, beliau berkata ia akan dibincang jawatankuasa yang baharu dibentuk yang dianggotai Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pengangkutan.

Sementara itu, mengenai arahan mengehadkan operasi kedai sama ada yang menjual makanan atau barangan keperluan di setiap negeri, Fadillah berkata mesyuarat Jawatankuasa Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Jumaat lepas memutuskan bahawa kuasa mengeluarkan arahan itu diberikan kepada kerajaan negeri.

Antara negeri yang telah mengeluarkan arahan mereka sendiri setakat ini ialah Melaka yang mengarahkan penutupan kedai makan termasuk pandu lalu, kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam dari 7 petang hingga 7 pagi. Selain itu, Pahang turut mengarahkan penutupan kedai makan dan serbaneka 24 jam bermula 7 petang hingga 7 pagi di lima daerah negeri berkenaan. – BERNAMA