Bintulu tawar pelbagai destinasi menarik

Sektor pelancongan merupakan salah satu elemen penting dalam meniti arus pembangunan negara yang rancak berkembang.

Oleh itu, destinasi menarik penting dipromosikan disamping dipelihara dan dipulih hara bagi mengekalkan nilai khazanah berharga untuk menari kehadiran ramai pelancong untuk berkunjung ke tempat tersebut.

Destinasi ini secara tidak langsung akan melonjak eko-pelancongan di Negeri ini.

Umumnya eko-pelancongan mempunyai impak minima terhadap alam sekitar dengan menyumbang kepada kesejahteraan penduduk tempatan dengan berasaskan alam semula jadi.

Sepertimana kawasan lain di negeri ini, Bintulu juga boleh dijadikan destinasi menarik untuk dikunjungi.

Selain dari dikenali sebagai jolokan bandar minyak dan gas, Bintulu menempatkan industri berat dan kilang-kilang berat di kawasan Tanjung Kidurong dan Taman Perindustrian Samalaju (SIP).

Malah Bintulu juga memiliki dua buah pelabuhan laut dalam iaitu Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Samalaju.

Antara destinasi menarik yang mampu menenangkan jiwa di sebalik kesibukan kota dan penat lelah bekerja, pengunjung boleh merehatkan minda di Pantai Temasya Tanjung Batu, Pantai ABF, Taman Tumbuhan dan Binatang (TUMBINA) dan Taman Negara Similajau.

PANTAI TANJUNG BATU

Pantai Temasya Tanjung Batu terletak kira-kira 5 km dari pusat Bandar Bintulu.

Pantai ini menjadi tumpuan penduduk tempatan terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Kemudahan yang disediakan termasuklah taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tandas awam dan tempat riadah dan sukan.

Pemandangan yang indah menjadi tarikan utama kepada pengunjung tidak kira penduduk tempatan mahupun pelancong untuk menghabiskan masa bersama-sama keluarga atau rakan-rakan.

Menariknya, di pantai ini pengunjung akan menikmati pengalaman berharga ketika matahari terbenam.

Malah laluan di pantai ini juga menjadi pilihan untuk aktiviti berjoging.

PANTAI ABF

Pantai BF juga sinonim dengan Tanjung Kidurong dalam kalangan penduduk setempat.

Pantai ini mampu memberikan memori dengan mengingatkan pengunjung dengan suasana kampung nelayan.

Terdapat banyak bot nelayan yang terletak di pinggir pantai.

Bagi yang ingin membeli ikan segar, pantai menjadi tumpuan utama mereka.

TAMAN TUMBINA

Taman ini merupakan kebun binatang yang berintegrasi dengan koleksi flora yang cukup beragam dengan berkeluasan 12 hektar dan jarak 4 km dari pusat kota Bintulu.

Taman ini dijadikan pusat rekreasi dan sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Pemandangannya sangat cantik kerana diliputi tumbuhan flora dan fauna di sekelilingnya.

Gunung dan bukit hijau menjadikan taman menarik di Bintulu ini begitu menarik sekali. Terdapat juga haiwan dipelihara di sini untuk tarikan para pelancong.

TAMAN NEGARA SIMILAJAU

Taman Negara Similajau, hanya 45 minit dari Bintulu.

Taman Negara ini mempunyai salah satu kawasan pantai yang paling cantik di Malaysia dengan pasir pantai putih bersih yang tidak tercemar dan pantai berbatu yang menghadap Laut China Selatan.

Menariknya mengenai Taman Negara Similajau ini, terdapat 10 hentian seperti Golden Beach, Turtle Beach I dan II, Batu Anchau, Sebubong Pool, Circular Trail dan Education Trail.

Terdapat tiga khazanah hutan utama dan paling berharga di taman itu antaranya hutan pantai, hutan kerangas, hutan `Mixed Dipterocarp’ serta hutan paya bakau.

Manakala hidupan liar yang terdapat di taman ini pula adalah ikan lumba-lumba, penyu, buaya air masin di Sungai Likau dan belangkas.

Ini antara destinasi menarik yang terdapat di Bintulu. Jangan lepaskan peluang anda, luangkan masa untuk menjadikan Bintulu sebagai destinasi pilihan bagi memenuhi percutian anda.

Oleh Ellie Edward