Warisan dari kudrat sepasang kaki wanita

PEKERJA atap Singhora, Ismail Yaakub, 70, memasukkan tanah liat ke dalam mesin bagi membuat atap tersebut di Noraini Atap Bata Singhora, Kampung Pengkalan Baru. •FotoBERNAMA

SENI pertukangan rumah terutama dalam peradaban Melayu, amat menitik beratkan pemilihan bahan untuk menghasilkan bumbung seperti mana juga pentingnya dalam pemilihan jenis kayu untuk dijadikan tiang seri rumah.

Peralihan zaman turut menyaksikan gaya pemilihan bahan untuk atap berubah-ubah dari tanah liat, pelepah rumbia, zink dan kini plaster siling dan pastinya, pemilihan ini dipengaruhi faktor kos, reka bentuk dan penyelenggaraan dalam tempoh yang panjang.

Memperkatakan mengenai atap rumah tradisional, sudah pasti atap Singhora berada antara senarai pilihan dan terima kasih kepada trend terkini, pelengkap bumbung berkonsep tradisional yang diperbuat daripada tanah liat itu kini semakin mendapat permintaan di pasaran tempatan.

Merentasi lima generasi, Noraini Jusoh mengakui permintaan bertali arus daripada pengusaha resort, orang persendirian serta pengusaha seni binaan tradisional berjaya memastikan atap bata terus relevan dalam pasaran hiasan landskap.

Menjadi satu-satunya pengusaha atap di Kelantan malah di Malaysia, wanita berusia 52 tahun itu kini mampu berbangga tatkala legasi perusahaan turun temurun itu kini menjadi ‘trend-setter’ kepada penggunaan atap bata itu untuk disuai padankan dengan pasaran seni taman seperti wakaf, gazebo, pagola dan chalet.

“Saya bersyukur sebab banyak usaha dilakukan sekarang dalam memastikan warisan yang berasal dari gabungan seni pertukangan Kelantan dan Wilayah Songkhla, Thailand ini terus hidup. Daripada puluhan pengusaha, kini tinggal hanya saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pengkalan Baru, Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

Pernah suatu masa menerima tempahan sehingga 37,000 keping atap bagi satu projek di Sabak Bernam, Selangor, Noraini yang mesra di sapa Kak Ani, teguh mempertahankan teknik penghasilan atap bata secara tradisonal yang diwarisinya.

“Memang berhajat hendak mempunyai mesin yang lebih canggih kerana nak tingkatkan pengeluaran. Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kak Ani memang tak menang tangan dan Alhamdulilah, walaupun hanya mempunyai sembilan pekerja, pengeluaran tetap memberangsangkan.

“Tapi, Kak Ani nak kekalkan cara lama sebab bukan hanya mahu generasi sekarang kenal warisan datuk moyang kita tetapi mempromosikan tempat ini sebagai tumpuan pelancong,” katanya yang mana hasil kerjanya turut menjadi hiasan di Istana Joghra, Banting, Selangor, Masjid Kampung Laut (Kelantan), Tasik Kenyir Resort serta Peladang Agro Resort di Setiu, Terengganu.

Malah asbab pembinaan 29 vila di Terrapuri Heritage Village di Penarik, Terengganu yang menggunakan atap Singhora, Kampung Pengkalan Baru yang menjadi bengkel utama penghasilan atap bata itu mula dikunjungi pelancong sejak empat tahun lepas.

“Bas yang membawa pelancong ke Terrapuri selalu akan singgah di sini untuk memberi peluang pelancong melihat sendiri penghasilan atap yang menghiasi penginapan mereka di Terrapuri. Jadi, amat penting Kak Ani kekalkan warisan seni pembinaan yang berusia ratusan tahun ini,” jelasnya.