Angkat kearifan tempatan sebagai bahan intelektual

ABANG Haliman (tengah) merakam kenangan bersama barisan karyawan yang hadir.

Baru-baru ini, Sesi Dialog Karyawan Sarawak dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) menjadi platform ‘suara’ perkembangan bahasa dan sastera di Sarawak.

Dihadiri oleh barisan karyawan Sarawak, veteran dan penulis-penulis muda yang ingin menempa nama, sesi dialog setengah hari itu diadakan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBPCS) Cawangan Sarawak.

Sesi dialog yang mempertemukan para karyawan dengan Pengarah DBPCS, Abang Haliman Abang Julai itu berjaya menimbulkan beberapa isu dan persoalan serta hala tuju bahasa dan penerbitan sastera di negeri ini.

Namun, isu yang paling menarik disuarakan adalah tentang cadangan DBPCS yang ingin mengangkat khazanah kearifan tempatan sebagai bahan intelektual.

Abang Haliman yakin sekiranya khazanah negeri diangkat, khasnya kearifan tempatan, ia akan menjulang lagi nama Sarawak yang penuh kaya dengan budaya, adat resam dan tradisi oleh kepelbagaian kaum rakyat.
Memetik contoh kearifan tempatan ialah seni Bermukun pernah diangkat tidak lama dahulu, bukan sekadar kerana lenggok tari sahaja tetapi unsur pantunnya.

“Dari bermukun berjaya dihasilkan karya penulisan yang menarik di Sarawak. Dari sudut DBP kita tidak melihat dari aspek tarinya tetapi kita menilai dari segi isi pantun tersebut,” ujarnya.

Malah, katanya lagi setelah kajian dilakukan, beberapa manuskrip pantun telah berjaya diterbitkan dalam Bahasa Melayu Sarawak dan diterbitkan semula dalam Bahasa Kebangsaan supaya keseluruhan masyarakat Malaysia dapat memahami keindahan isi pantun-pantun Sarawak.

Turut disentuh di dalam dialog ini adalah cadangan untuk mengangkat nilai intelektual dan keistimewaan dari kawasan Santubong bagi menyebarkannya kepada orang ramai, sama ada dari segi pendidikan, penerbitan berbentuk karya, seni atau teater ke peringkat nasional.

Menurutnya Haliman, selain kaya dengan keindahan alam semula jadi, Santubong juga mempunyai banyak nilai khazanah yang berkemungkinan belum diteroka secara sepenuhnya.

Kawasan Santubong juga terkenal dengan budaya seni bermukun dengan pelbagai koleksi pantun yang menceritakan mengenai corak kehidupan masyarakat setempat.

Oleh Diyana Samsuddin