Individu pulang dari Sulawesi dipantau

KUCHING: Pihak berkuasa di Sarawak kini sedang memantau kepulangan empat lelaki warga tempatan yang menghadiri Perhimpunan Tabligh di acara Ijtima Asia 2020 di Makassar, Sulawesi, Indonesia.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing, berkata empat individu itu telah pergi ke Sulawesi pada 16 Mac lalu iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dikuatkuasakan pada 18 Mac.

“Justeru, kita tidak dapat menghalang mereka pergi ketika itu, namun perhimpunan agama yang dijadualkan pada 19 hingga 22 Mac itu kemudiannya dibatalkan pada Khamis lalu atas sebab penularan wabak Covid-19.

“Mereka belum kembali lagi setakat ini dan pihak kita sedang memantau kepulangan mereka memandangkan sempadan kita juga ditutup sehingga 31 Mac.

“Kita juga telah mengarahkan tentera untuk memantau mereka sekiranya mereka akan kembali ke negeri ini menggunakan ‘jalan tikus sekiranya mereka cuba menyelinap masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menjawab pertanyaan mengenai empat rakyat Sarawak yang pergi ke Sulawesi menggunakan laluan sempadan di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai umur dan tempat asal empat individu itu, Masing berkata beliau tidak mempunyai butiran identiti mereka tetapi Jabatan Imigresen Malaysia mempunyai rekod itu.

“Namun apabila kembali, mereka pasti akan diperiksa dengan teliti sama ada membawa wabak Covid-19 dan pasti akan diarahkan menjalani kuarantin diri selama 14 hari,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol, berkata empat lelaki itu bukan sebahagian daripada mereka yang menghadiri perhimpunan agama di Sri Petaling yang disertai 16,000 orang dan 609 orang daripadanya adalah rakyat Sarawak.

Seperti yang dilaporkan Bernama, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Abidin Bakar berkata, usaha sedang dijalankan untuk mengesan 83 rakyat Malaysia yang dipercayai telah pergi ke Indonesia untuk menghadiri acara tersebut.

“Kedutaan Malaysia di sini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Sulawesi untuk memastikan rakyat Malaysia yang sudah berada di Indonesia untuk menghadiri perhimpunan itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Berdasarkan laporan Jakarta Post, sejumlah 8,223 orang yang hadir untuk perhimpunan agama itu dihantar balik secara berperingkat dengan 474 warga asing dari sekurang-kurangnya 12 negara termasuk Malaysia, Singapura, Brunei, Arab Saudi, India, Belanda, Thailand dan Filipina, diletakkan di hotel-hotel yang dimiliki oleh pentadbiran wilayah di Makassar.