Manik, buah tangan unik Bumi Kenyalang

PRODUK manik sudah cukup untuk memberi gambaran dan pengenalan kepada etnik tertentu di Sarawak.

Satu daripada cenderamata unik dan menarik yang boleh dibawa pulang dari Sarawak adalah produk manik, khasnya aksesori manik.  Bukan sahaja pilihannya pelbagai tetapi ia boleh didapati di mana-mana kedai cenderamata untuk dijadikan hadiah kepada orang tersayang atau untuk koleksi peribadi.

Produk manik Sarawak unik kerana setiap etnik mempunyai identiti manik mereka sendiri.  Jadi bayangkan betapa kaya dan meriahnya produk manik tradisi daripada 28 etnik di negeri ini, selain produk manik kontemporari yang turut memenuhi pasaran.

Produk manik tradisi dihasilkan dengan penuh ketelitian dan hasilnya memang menakjubkan.  Bagi yang arif, dengan melihat hasil produk sahaja mereka sudah dapat menentukan ia dari etnik mana.

Sebagai contoh, etnik Lun Bawang kerap menggunakan kuning/jingga dan hitam untuk hiasan kepala, etnik Iban menggunakan manik pelbagai warna untuk hiasan pakaian tradisi, enik Kenyah, Kayan atau Kelabit sinonim dengan hiasan manik berukiran tradisi pada pakaian dan sebagainya.

Berdasarkan sejarah awal manik di Sarawak,  Heidi Munan di dalam bukunya Beads Of Borneo ada menyebut bahawa manik di bawa ke Pulau Borneo oleh pedagang India dan Cina purba.  Bertitik-tolak daripada itu, perniagaan manik mula berkembang, khasnya di Sarawak dan mula mempengaruhi budaya masyarakat tempatan.

Sebenarnya manik telah lama memainkan peranan penting di dalam kehidupan masyarakat Sarawak.  Di dalam masyarakat tradisi, manik mempunyai keistimewaan kerana ia boleh menjadi lambang kemegahan, simbol martabat, berfungsi sebagai wang, barang hantaran perkahwinan,  bahan perubatan, dikaitkan dengan kuasa ghaib dan sebagainya.

Namun perubahan zaman, terutamanya agama dan pendidikan sedikit demi sedikit menghakis peranan manik di dalam kehidupan masyarakat .  Malah bentuk, warna dan bahan buatannya juga mula berubah mengikut peredaran zaman serta fungsinya.

Pada zaman moden ini, fungsi manik lebih menjurus kepada barang perhiasan, dari aksesori, pakaian hinggalah banyak benda lain seperti beg tangan, hiasan dinding dan sebagainya.

Melihat kepada keunikan produk manik ini, Sarawak telah mengeksloitasi produk warisan ini sebagai satu daripada cenderamata rasmi negeri ini.  Tambahan pula produk ini bukan sahaja menarik tetapi mudah dibawa balik, boleh disimpan lama serta dijadikan dekorasi di mana-mana.

Justeru pelbagai usaha telah dijalankan bagi membangun dan mempromosi produk manik Sarawak sebagai salah satu aset penting pelancongan negeri ini. 

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semasa Persidangan Antarabangsa Manik dan Pertunjukan Fesyen Borneo 2019 pernah menyebut pihaknya sentiasa menyokong apa sahaja aktiviti yang boleh melonjakkan pasaran produk manik yang diusahakan oleh lebih 1,500 pengusaha kraf tangan di negeri ini.

Oleh Haini Darani