Makanan ringan jadi gaya hidup moden

SEDAPNYA… Antara makanan ringan yang menjadi kegemaran kanak-kanak.

Dewasa ini, makanan ringan menjadi pilihan utama dalam kalangan masyarakat kita sama ada untuk mengalas perut dan sebagainya.

Makanan ringan diklasifikasikan sebagai makanan yang mudah untuk disediakan dan dinikmati oleh masyarakat pengguna tanpa mengira masa.

Antara makanan ringan itu meliputi kategori kerepok, gula-gula, manisan dan sebagainya.
Pihak media massa sering menyiarkan bahan berita mengenai isu makanan ringan ini yang menjadi kegilaan dalam kalangan kanak-kanak.

FAKTOR PENGAMBILAN MAKANAN RINGAN
Kebiasaanya, kanak-kanak melihat makanan ringan sebagai sesuatu yang menarik untuk dinikmati.
Makanan ringan telah dikatakan pelengkap kepada kehidupan moden yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak bergaya zaman globalisasi ini.

Penularan budaya makanan ringan ini turut dikaitkan dengan mudahnya untuk memperoleh makanan sebegini.

Mudahnya, kanak-kanak boleh membeli makanan ini di kedai runcit, kantin, pasar raya dan sebagainya.
Malah barangan makanan tersebut mudah didapati dan dibeli tanpa halangan di mana-mana.

Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa makanan ringan secara relatifnya lebih murah berbanding makanan lain yang dikatakan lebih berkhasiat itu.

Kadar harga yang murah ini kerana makanan ini dihasilkan tanpa khasiat dan begitu mudah cara penyediaannya berbanding dengan makanan lain yang berkualiti.

SIAPA DIPERSALAHKAN
Ada pihak yang mengaitkan isu ini dengan kekurangan pengawasan ibu bapa yang menjadikannya semakin meruncing itu.

Banyak pihak melihat ibu bapa zaman ini terlalu sibuk bekerja sehingga tidak berupaya untuk memantau aktiviti anak terutama amalan pemakanan yang tidak sihat itu.

Ibu bapa lebih suka melihat anak mereka gembira menikmati makanan ringan ini daripada menegur golongan muda itu kerana sudah penat bekerja atau tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluarga pula.

Ketiadaan teguran ibu bapa itu seolah-olah memberikan lampu hijau kepada anak untuk meneruskan amalan yang tidak sihat ini dalam kehidupan mereka itu.

LANGKAH PENGAWALAN
Setiap ibu bapa mahupun penjaga memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kesihatan anak mereka terutama melalui penyediaan makanan berkhasiat. Ini kerana aspek pemakanan satu perkara asas dalam menentukan tahap kesihatan selain menjamin tumbesaran sihat.

Penyediaan makanan berkhasiat sesuai dengan tahap usia anak tidak boleh dipandang remeh kerana hakikatnya, semua kanak-kanak mampu membesar dengan baik melalui pengambilan pemakanan yang sihat dan seimbang.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, makanan ringan sudah menjadi satu budaya baru dalam kehidupan generasi moden.

Kita hendaklah mula berfikir tentang kemelut ini kerana sudah pasti kualiti kesihatan kanak-kanak kita akan terjejas suatu masa nanti.

Oleh Ellie Edward