Larang kemasukkan orang luar

AKUN GIMAN

SIBU: Penduduk dari 24 buah rumah panjang di Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun di Kanowit mengambil inisiatif mendirikan papan tanda larangan kemasukkan orang luar ke rumah panjang mereka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua penduduk kawasan terbabit menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Induk Nanga Ngungun telah mendirikan papan tanda larangan itu di simpang masuk Nanga Ngungun (Jalan Kanowit-Ngungun) dan hadapan Jambatan Sungai Ngungun (Jalan Song-Kapit).

Turut bersama penduduk mendirikan papan tanda itu semalam ialah Penghulu Ron Ugai yang juga Pengerusi JKKK Induk Nanga Ngungun.

Ron menggesa semua tuai rumah di kawasan terbabit bersama-sama memastikan penduduk tidak keluar rumah sepanjang tempoh PKP ini, selain memastikan tiada anak-anak buah mereka dari bandar balik ke rumah panjang. “Inisiatif tersebut telah dipersetujui oleh semua penduduk  menerusi JKKK Induk Nanga Ngungun sebagai usaha mengekang penularan wabak berbahaya itu,” ujarnya lagi.