PN, BN, PBS sebagai Gabungan Rakyat Sabah

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberi sokongan kepada calon Perika tan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pada proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Sabah di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tuaran semalam. • Foto BERNAMA

TUARAN: Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Sabah, kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat khas Jumaat lepas bersama-sama pemimpin tertinggi ketiga-tiga parti itu.

“Hasil mesyuarat penting semalam, saya ingin umumkan bahawa keputusan yang telah dicapai ialah untuk menamakan gabungan parti-parti yang ada (di Sabah) bersama-sama perjuangan kita ini sebagai Gabungan Rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa bertemu bakal calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor di Pejabat Perhubungan Bersatu di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, setiap ahli parti juga perlu membentuk semangat baharu di bawah Gabungan Rakyat Sabah yang saling membantu antara satu sama lain dan mengenetepikan apa juga perselisihan atau perasaan lama.

“Kita kena bekerjasama dengan UMNO, PBS, SAPP, STAR, PBRS, MCA, jadi maknanya gabungan parti-parti ini semuanya sudah bersatu hati kerana tidak mungkin satu parti sahaja boleh membentuk kerajaan di Sabah,” katanya sambil disambut laungan sorakan kira-kira 100 penyokong yang mengiringi Hajiji.

Muhyiddin berkata, jika hanya PN dan BN sahaja yang menang, tidak akan dapat membentuk kerajaan yang kuat di Sabah tanpa gabungan daripada Gabungan Rakyat Sabah.

Beliau berkata, kesamaan antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan membolehkan Sabah lebih pesat membangun khususnya di kawasan Tuaran yang masih memerlukan banyak pembangunan.

Sementara itu, perdana menteri turut menitipkan pesanan kepada rakyat khususnya di Sulaman supaya bekerja keras membantu Hajiji bagi memastikan DUN Sulaman milik kerusi Bersatu.

Terdahulu, beliau tiba di pejabat Bersatu pada 8.25 pagi untuk bertemu calon DUN Sulaman itu,  sebelum bergerak bertemu peniaga di Pasar Ikan dan Pasar Awam di sini. – Bernama