Santai hujung minggu di Taman Rekreasi Ranchan

AIR terjun Ranchan.

Bagi warga Kuching atau Serian, nama Taman Rekreasi Ranchan mungkin biasa didengari, malah mungkin ramai yang pernah berkunjung ke sini.

Terletak di Serian, kira-kira 60 kilometer dari bandar raya Kuching, ia merupakan salah satu  lokasi perkelahan popular, terutama pada hujung minggu atau hari cuti laim.

Jika memandu dari Kuching, perjalanan hanya mengambil masa sekitar 45 minit. Tidak sukar untuk mencari lokasinya kerana ia terletak berhampiran laluan lebuh raya Pan Borneo serta terdapat papan tanda jalan untuk dijadikan panduan mudah.

Satu tarikan utama di sini ialah kolam dan air terjun Ranchan yang merupakan salah satu daripada 10 air terjun semula jadi di Sarawak.  Justeru bukan menghairankan jika ia menjadi pilihan warga kota dan desa untuk bersantai, terutama pada hujung minggu.

Bagi yang pernah mandi-manda di kolam dan air terjun ini, pastinya tidak akan melupakan keindahan semula jadi di sini.  Dengan batu-batu kerikil di dasar kolam, air yang jernih dan sejuk serta persekitaran hutan yang sunyi dan mendamaikan, ia memang tempat sesuai untuk menyegarkan kembali minda dan badan.

Malah deruan lembut air yang mengalir sudah cukup untuk mententeramkan jiwa yang resah, apatah lagi jika berjalan-jalan melewati kawasan hutan yang dingin dan menghirup udara segarnya.

Kawasan ini juga biasa menerima lawatan daripada ahli-ahli akademik yang ingin membuat penyelidikan tentang flora dan fauna di sekitarnya.

Bersantai bersama keluarga tidak akan lengkap jika tidak mengadakan sesi makan-makan.  Aktiviti BBQ boleh dilakukan di sini kerana pihak pengurusan taman ada menyediakan tempat khas untuk tujuan ini.

Disebabkan lokasinya yang terletak di dalam laluan ke bahagian tengah dan utara Sarawak, biasanya ia dijadikan lokasi persinggahan untuk pemandu yang ingin melepas lelah atau rasa mengantuk.

Ini tidak menjadi masalah kerana tempat letak kenderaan tersedia dengan banyak.  Malah di sini disediakan banyak kemudahan seperti tandas , pondok rehat, kedai makan, bangku dan sebagainya.

Bagi yang datang ke sini hanya untuk menenangkan fikiran atau menikmati alam semula jadi, ada banyak yang dapat dilihat.  Dari batuan yang membentuk sistem kolam dan air terjun hinggalah tumbuh-tumbuhan menjalar dan Hutan Hujan Tropika yang memayungi kawasan ini.

Oleh Cheryl Law