Kibar Jalur Gemilang di puncak Gunung Tahan

EKSPEDISI menawan Gunung Tahan sempena Hari Malaysia disertai oleh Bomba, PDRM, PERHILITAN dan pengamal media Pahang.

KUANTAN: Mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Tahan, puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia, pada Hari Malaysia yang akan disambut Rabu ini menjadi antara matlamat 70 peserta Program Latihan Menyelamat dan Kajian Risiko di Kawasan Pergunungan yang bermula semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata selain bomba, ekspedisi itu juga disertai pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta rakan media Pahang. 

Katanya matlamat utama program ialah menguji kemampuan dan ketahanan fizikal serta mental pasukan terlibat sebagai persediaan menghadapi operasi menyelamat di kawasan gunung, namun penganjuran yang hampir dengan tarikh sambutan Hari Malaysia menjadikan program itu lebih istimewa. 

“Pasukan terlibat dijadualkan memulakan pendakian hari ini dan tiba di puncak gunung setinggi 2,187 meter pada Rabu ini yang merupakan Hari Malaysia. Sebagai simbolik kepada hari istimewa buat rakyat negara ini, peserta akan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak gunung,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan peserta program itu di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini, semalam. 

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pahang Ismail Abdul Ghani yang juga ketua ekspedisi. 

Selain itu, Wan Mohammad Zaidi berkata program juga membolehkan pihaknya melihat dan mengkaji risiko pendakian di Gunung Tahan memandangkan trek tersebut akan dibuka semula kepada orang awam bermula Selasa ini (15 September).  — Bernama