Peter buktikan strawberi subur di Sarawak

PILIH YANG SESUAI… Peter memilih bunga dan buah yang sesuai bagi mengelakkan pokok strawberi mengeluarkan buah yang terlalu banyak pada sebatang pokok.

SIAPA yang tidak geram apabila melihat buah strawberi kemerah-merahan berjuntaian dari pasu kecil di tepi rumah kediaman wartawan Sin Chew Daily News, Peter Aaron Wee di Taman Indah, Teku.

Bulat dan segar buahnya membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya pasti akan merasa tertarik dan terasa ingin mencuba.

Peter dengan mesranya memulakan perbualan dengan memberitahu, beliau mula berminat untuk menanam strawberi selepas menyertai rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin ke Chiang Mai dan Chiang Rai di Thailand tiga tahun lepas.

“Di kawasan tersebut, saya melihat orang menjual strawberi di tepi-tepi jalan. Saya tidak melepaskan peluang untuk merasai strawberi segar.

“Selepas itu saya berpeluang pergi ke Tanah Tinggi Cameron Highland. Di sana saya bertanya mereka bagaimana cara tanam strawberi, selain mendapatkan maklumat dan belajar dari internet,” jelasnya.

Daripada apa yang dipelajari di Cameron Highland dan internet, beliau telah mengetahui bahawa strawberi bukan hanya boleh ditanam di negara beriklim sejuk, malah negara beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia.

“Menanam pokok strawberi di kawasan sejuk memang lebih senang berbanding kawasan panas. Pokok strawberi yang ditanam di kawasan panas memerlukan penjagaan rapi termasuk harus ditanam di kawasan redup, apabila ia telah mengeluarkan bunga dan buah, elakkan daripada terkena hujan.

“Saya menanam pokok strawberi di atas tanah terlebih dahulu, apabila ia sudah mulai mengeluarkan bunga saya mengalihkannya dan tanam di dalam pasu.

“Apabila buah sudah matang alihkan pokok strawberi ke kawasan ada cahaya matahari untuk mendapatkan buah yang manis. Buah strawberi yang sudah masak harus dibungkus untuk mengelak daripada serangan serangga,” ujarnya.

Katanya, beliau telah menanam sebanyak 300 hingga 400 pokok strawberi, tetapi kini hanya tinggal 100 pokok sebab ada mereka yang datang ke rumah untuk membelinya.

“Jangan biarkan sebatang pokok strawberi mengeluarkan terlalu banyak buah. Untuk sebatang pokok strawberi cukup untuk empat biji buah strawberi bagi menghasilkan saiz buah yang lebih besar,” ujarnya lagi.

Peter memberitahu beliau mengamalkan penanaman pokok strawberi secara natural dan hanya menggunakan baja najis ayam dan kopi.

“Ini adalah untuk menghasilkan buah strawberi yang sihat untuk dimakan,” katanya.

Oleh Akun Giman