Tiada harga siling untuk cegah manipulasi

KUCHING: Cadangan untuk menetapkan harga siling bagi penerbangan semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak dan sebaliknya adalah tidak digalakkan bagi mengelakkan manipulasi oleh syarikat-syarikat penerbangan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata, kementeriannya telah mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk melaksanakan pemantauan pengenaan kadar tambang yang dikenakan oleh syarikat penerbangan secara berterusan dan mengadakan sesi libat urus bagi memastikan harga tambang dikenakan adalah sentiasa kompetitif.

“Kajian MAVCOM mendapati kebanyakkan pihak berkuasa penerbangan di negara-negara lain tidak mengawal harga tiket penerbangan bagi laluan antarabangsa atau domestik.

“Bagi negara-negara yang mengenakan penetapan harga tiket seperti di Indonesia, pengawalan harga telah menimbulkan implikasi negatif seperti peningkatan purata harga tiket penerbangan.

“Dalam situasi ini, syarikat penerbangan didapati telah mengambil kesempatan daripada harga siling tiket penerbangan yang ditetapkan oleh kerajaan untuk memaksimumkan keuntungan mereka walaupun semasa di luar waktu puncak,” katanya.

Ahli Parlimen Limbang itu berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan mengenai cadangan penetapan harga siling bagi tiket penerbangan rakyat rakyat berulang alik dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung dalam persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, menjawab mengenai langkah yang diambil kementeriannya mengurangkan harga tiket penerbangan, beliau berkata ia ditetapkan berdasarkan rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada 2006.

“Dalam hal ini, kerajaan telah memutuskan bahawa syarikat-syarikat penerbangan negara yang menyediakan perkhidmatan domestik diberikan kebebasan kepada liputan rangkaian kekerapan penerbangan dan kadar tambang yang ingin ditawarkan berdasarkan permintaan pasaran.

“Harga tiket penerbangan ditentukan menggunakan kaedah dinamik, antara lain mengambil kira makluman penawaran dan permintaan yang didorong oleh pasaran dengan syarikat-syarikat penerbangan menetapan kadar setelah mengambil kira pelaksanaan, keadaan ekonomi serta faktor-faktor lain seperti harga bahan api dan kos operasi.

“Berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan oleh MAVCOM bagi perjalanan bagi pertengahan September 2020, didapati harga tambang penerbangan terutamanya dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak telah menunjukkan trend penurunan berbanding ketika musim perayaan Hari Raya Aidiladha pada Julai 2020.

“Bagi perjalanan bagi pertengahan September 2020, MAVCOM mendapati harga tambang telah terus menunjukkan kestabilan dan hampir menyamai harga purata yang ditawarkan pada 2019,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan orang ramai untuk membuat perancangan dengan membeli tiket penerbangan lebih awal bagi mendapatkan tawaran harga tiket yang lebih murah berbanding pembelian di saat akhir.

“Syarikat penerbangan memerlukan tempoh masa antara 18 bulan bagi sektor domestik dan tiga tahun bagi sektor antarabangsa untuk pulih sepenuhnya dari impak wabak Covid-19.

“Berdasarkan analisis yang dilaksanakan, MAVCOM menjangkakan harga tiket penerbangan akan kembali normal kepada harga purata pada 2019 menjelang November 2020 setelah syarikat penerbangan kembali menyediakan perkhidmatan penerbangan dengan kapasiti sebenar,” tambahnya.

Oleh Zarina Abdullah