Seramai 100,000 usahawan disasar jalani Ujian MyNEPT

KUALA LUMPUR: Seramai 100,000 usahawan disasarkan menduduki Ujian Psikometrik Usahawan Nasional (MyNEPT) tahun ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sistem yang dibangunkan oleh Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) itu membantu usahawan serta bakal usahawan mengenali kecenderungan diri dan ciri-ciri sifat individu untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan laman sesawang MyNEPT di sini semalam, beliau berkata sehingga kini, lebih 10,000 usahawan telah mengambil ujian psikometrik MyNEPT.

Wan Junaidi berkata, ujian itu membantu usahawan untuk mencari penyelesaian kepada kelemahan yang dialami dengan mendapatkan bantuan daripada pihak berkaitan.

“Menjadi usahawan mempunyai cabaran tersendiri termasuk emosi, pendirian dan kedudukan, jadi ujian ini untuk mengenal pasti di mana letaknya kelemahan.

“Sebagai contoh usahawan ini boleh dibantu oleh pihak INSKEN atau Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) untuk memberi latihan tambahan kepada mereka sekiranya benar-benar mahu menjadi usahawan,” katanya.

Wan Junaidi turut menyarankan semua agensi di bawah kementeriannya menggunakan sistem MyNEPT bagi membantu usahawan mengenali kecenderungan diri.

Usahawan boleh melayari pautan https://www.mynept.com/ bagi membolehkan mereka mendapat keputusan ujian psikometrik MyNEPT secara percuma.- Bernama