Malaysia komited terus wujudkan persekitaran pelaburan menarik

PENERANGAN… Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) mendengar penerangan daripada Pengurus Kanan Pembangunan Infineon Technologies Sdn Bhd, Danny Koh Cher Hau (kanan) ketika lawatan ke kilang Infineon,Batu Berendam pada Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Melaka semalam. Turut hadir, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tiga, kiri). • Foto BERNAMA

MELAKA: Kerajaan hari ini mengulangi komitmen untuk terus mewujudkan persekitaran pelaburan sihat di negara ini termasuk usaha menjadikan Malaysia destinasi pelaburan terbaik di Asia Tenggara.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam, kerajaan juga akan terus menggalakkan pelabur untuk meningkatkan pelaburan di negara ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kilang syarikat berpangkalan di Jerman, Infineon Technologies (M) Sdn Bhd di Batu Berendam di sini semalam selepas mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) di sebuah hotel di Bandar Hilir pada sebelah pagi.

Syarikat itu merupakan cabang gergasi semikonduktor Jerman Infineon Technologies AG dan telah beroperasi selama 47 tahun di Malaysia.

Perdana Menteri juga mengumumkan komitmen pelaburan Infineon untuk melabur sejumlah RM3.25 bilion dalam jangka masa 10 tahun sehingga 2029.

“Menerusi pelaburan ini, Infineon telah membuka jalan untuk merancakkan nilai rantaian sektor semikonduktor ke arah proses berkeuntungan tinggi seperti (litar bersepadu) ‘Packaged Integrated Circuit,'” kata kenyataan itu.

Pelaburan itu turut menjadi mercu tanda dalam hubungan kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia-Jerman selain simbol tahap keyakinan tinggi oleh pelabur asing terhadap kestabilan dan daya tarikan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, industri elektronik juga merupakan penyumbang utama dalam sektor perkilangan berdasarkan jumlah pelaburan daripada syarikat-syarikat antarabangsa seperti Infineon.

Pada tahun lepas, sektor perkilangan telah menyumbang sebanyak 22.3 peratus kepada ekonomi negara.

Terdahulu dalam kunjungan itu, Muhyiddin turut diberi taklimat berhubung operasi kilang dan mendengar pandangan serta cabaran dihadapi oleh pihak pengurusan dan pekerja Infineon pasca-Covid-19.

Sehingga hari ini, Malaysia adalah satu-satunya negara di luar Jerman yang mana Infineon mempunyai kemudahan proses ujian dan pengumpulan pembikinan wafer bagi kilang berkenaan.

Syarikat Infineon Melaka juga telah berkembang dari sebuah tapak pengilangan konvensional kepada antara peneraju pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negara ini sejak mula beroperasi.

Infineon juga merupakan majikan terbesar di Melaka dengan sejumlah 9,000 pekerja serta menyediakan peluang pekerjaan sebanyak dua peratus untuk penduduk tempatan, kata kenyataan itu. – Bernama