Amalkan jarak sosial – Clarence Ting

NURZILLA MOHAMAD

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting menasihati orang awam supaya mengamalkan jarak sosial ketika berada di kawasan awam bagi mengelak jangkitan baharu Covid-19.

Beliau yang melakukan tinjauan di Pasar Sentral Sibu semalam mendapati, keadaan di kawasan itu masih dikunjungi ramai orang yang membeli keperluan harian.

“Saya harap orang ramai dapat mengamalkan budaya jarak sosial pada waktu ini, kerana negara kita sedang dilanda wabak Covid-19 yang boleh menjangkiti kita melalui sentuhan.

“Jika kamu melihat keadaan di suatu tempat itu penuh dengan orang ramai, elakkan untuk berada di sana.

“Tunggu sehingga bilangan orang ramai berkurangan, kemudian barulah kamu meneruskan urusan kamu,” nasihatnya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa bekalan makanan pada waktu ini adalah mencukupi.

Sementara itu, Ting turut menerima laporan daripada para ahli majlis MPS yang melakukan rondaan sekitar kawasan pentadbiran mereka.

Katanya, ahli majlis telah melakukan tinjauan di sekitar pusat komersial di Jalan Pahlawan, Teku dan Ling Kai Cheng.

“Saya berasa gembira dengan kerjasama yang diberikan oleh ahli majlis MPS yang turut turun padang bagi memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang masuki hari keempat, semalam. “Saya harap, orang ramai akan terus mematuhi arahan ini untuk kesejahteraan bersama,” ujarnya.