Urus sekolah dengan lebih sistematik

MENTERI Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian ketika ditemubual oleh media semasa majlis pembukaan rasmi bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Bako di Kota Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak menubuhkan unit khas Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina di negeri untuk memastikan sekolah tersebut mendapat bantuan kewangan setiap tahun serta menguruskannya dengan lebih sistematik.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, unit khas yang dimodelkan mengikut konsep Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) itu bertanggungjawab dalam membantu menyelaraskan bantuan kewangan yang diterima termasuk keperluan sekolah-sekolah dibawahnya.

Dr Sim yang mengetuai unit tersebut turut berkata, ia akan menyelaraskan sejumlah 222 buah SJK Cina di Sarawak dan pihaknya bekerjasama dengan lembaga pengurusan sekolah dan pasukan petugas yang dilantik untuk menilai dan mengagihkan dana berdasarkan keperluan sekolah.

“Unit ini fokus kepada semua sekolah rendah Cina di negeri ini dan kita akan mempunyai petugas yang memantau dan memastikan bantuan kewangan yang disalurkan adalah benar-benar digunakan di sekolah.

“Dengan adanya unit ini, kita akan lebih sistematik kerana ada sebahagian sekolah yang memerlukan bantuan segera seperti pembinaan bangunan yang runtuh, pembinaan bilik darjah, pemindahan dan sebagainya, maka ia dapat dibantu dengan segera.

“Dan bantuan yang disalurkan adalah dari kerajaan negeri dan berlainan daripada Kerajaan Persekutuan yang hanya peruntukan bukan untuk membina seperti blok sekolah baharu, pemindahan dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Sekolah Baharu SJK (C) Chung Hua Bako bertempat di SJK (C) Chung Hua Bako di sini, semalam.

Tambahnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersetuju untuk menubuhkan unit khas itu di bawah kementerian beliau kerana terdapat banyak permohonan untuk mendapatkan bantuan dari SJKC Cina.

“Pembiayaan dan bantuan yang disalurkan kepada sekolah bergantung kepada sumbangan daripada wakil rakyat dan sebagainya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana ia adalah satu lagi inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membantu sekolah cina di negeri ini.

“Selain itu, sekolah Cina juga semakin popular di kalangan Bumiputera di Kuching, Samarahan dan Serian kerana 27 peratus daripada populasi pelajar adalah Bumiputera,” tambahnya.

Oleh Zarina Abdullah