Singkap sejarah Hari Malaysia

WARNA WARNI… Kelihatan bendera Jalur Gemilang serta bendera Sarawak menghiasi pandangan setiap pelosok deretan kedai-kedai di India Street, Kuching. • Foto ALIPIAN HYACINTH

Hari ini, tanggal 16 September,  seluruh rakyat Malaysia meraikan Hari Malaysia bagi memperingati ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia,  sekali gus menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Menyingkap sejarahnya, pembentukan persekutuan baharu ini dirancang berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan keenam.

Hari Malaysia juga merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Walaupun pada awalnya Hari Malaysia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun mulai tahun 2010, Hari Malaysia diisytiharkan sebagai cuti am bagi semua negeri di Malaysia.

Penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrontasi ketenteraan di bawah slogan “Ganyang Malaysia” yang berlanjutan sehingga 1966.

Filipina turut menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British, manakala Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

Bagaimanapun, pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia. Akhirnya  16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

Justeru, 16 September 1963 diakui telah memberi perubahan kepada negara khususnya dalam penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak di samping jumlah penduduknya yang menjangkau 10 juta orang ketika itu.

Kronologi pembentukan Malaysia yang direalisasikan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebenarnya telah disuarakan pada Mei 1961 melalui satu ucapan beliau dalam Persatuan Wartawan Asing Asia-Tenggara di Singapura.

Dalam ucapan tersebut, Tunku telah mencadangkan agar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei digabungkan dalam satu kesatuan atau satu negara yang disebut sebagai Malaysia. Kata Tunku dalam ucapannya, “Persekutuan Tanah Melayu tidak mampu wujud secara bersendirian tanpa kerjasama politik dan ekonomi dengan Singapura, Sabah dan Sarawak.”

Maka, Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah di perolehi bagi menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963.

Bagaimanapun,, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963 dengan berlangsungnya  upacara gilang-gemilang yang dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan seramai 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir dengan upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad Mohammad Said.

Namun,  selepas dua tahun Singapura berada di dalam Malaysia, hubungan Tanah Melayu dan Singapura mulai tegang. Banyak perselisihan faham  timbul di antara Kerajaan Singapura dengan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Antara isu yang menjadi perbahasan hangat ialah soal ekonomi, parti dan perkauman. Bagi aspek ekonomi , Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak telah sepakat untuk memajukan sektor perindustrian dan perkilangan bersama terutamanya berkaitan barang-barang yang dihasilkan digunakan dalam negeri dan bukan untuk dieksport ke luar negara.

Akibat beberapa faktor  lain juga telah menyebabkan Singapura mengambil keputusan keluar dari Malaysia secara rasmi pada Ogos 1965.