Daerah Belawai dalam arus pembangunan

TAHNIAH… Dua orang pencari kerja mendapat pekerjaan setelah ditemuduga secara virtual di Program Jangkauan Tenaga Kerja (GRAP) 2020. Turut kelihatan Mazlan Abd Mutalib (kanan), Datu Len Talif Salleh (dua, kanan) dan Awang Raduan, Awang Omar.

TANJUNG MANIS: Daerah kecil Belawai berada dalam arus pembangunan dan pelbagai usaha sedang digiatkan agar penduduk di daerah ini tidak ketinggalan dalam menikmati kemajuan dan keharmonian.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, usaha dan inisiatif daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak seperti Program Jangkauan Tenaga Kerja (GRAP) 2020 adalah merupakan salah satu contoh di mana penduduk setempat boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh JTK Sarawak serta agensi pempamer Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Sektor perkhidmatan negara harus berubah seiring dengan zaman demi mendepani cabaran dan saingan masa hadapan.

“Usaha untuk mentransformasi ini merupakan satu cabaran yang amat besar memandangkan ia bukan sahaja melibatkan perubahan gaya pelaksanaan aktiviti, malah memerlukan anjakan minda masyarakat secara penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Rasmi Program Jangkauan Tenaga Kerja (GRAP) 2020, di Dewan Kampung Jerijeh, pagi semalam.

Len yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang juga berharap semua terutamanya penduduk di kawasan Belawai dan yang berdekatan dapat manfaat daripada program ini dengan sebaik mungkin.

Tambahnya, program ini bukan sekadar pameran, sebaliknya ia menyediakan satu peluang besar kepada belia yang masih atau ingin menukar bidang kerjaya.

“Ini adalah satu peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

“Selain itu, kita sedia maklum bahawa Kerajaan Sarawak juga sangat komited menaiktaraf dan membina jalan yang bakal menjadi penghubung penting di samping memudahkan penduduk mengeluar dan memasarkan hasil pertanian serta produk hiliran yang lain,” ujarnya.

Katanya, antara usaha terkini ialah membina Jalan Pasi yang menghubungkan Sarikei hingga ke Tanjung Manis dengan sebuah jambatan, pembinaan Jambatan Muara Lassa dan Jambatan Paloh selain membekalkan air dan elektrik bagi kegunaan rakyat.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Mazlan Abd Mutalib dan Pengarah Tenaga Kerja Sarawak, Awang Raduan, Awang Omar.

Oleh Earl Anek