Sharifah Halimah bersara

SERAH… Dato’ Sharifah Halimah pada Majlis Serah Tugas kepada Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Herman Shah Abdullah.

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak mencatat sekali lagi sejarah apabila berlangsungnya Majlis Serah Tugas dan Paluan Berundur Pengarah Kastam Negeri Sarawak di Dewan PERKASA, Aras 3 di antara Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha kepada Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Herman Shah Abdullah.

Upacara Serah tugas itu disaksikan oleh Timbalan Pengarah Kastam Negeri, Bahagian Cukai Dalam Negeri, Ramli Othman dalam satu majlis ringkas penuh bermakna.

Dalam amanat terakhir, Sharifah Halimah menggesa warga JKDM Sarawak perlu mempaksikan budaya dan pemikiran ke arah lebih berinformatif bagi melahirkan modal insan yang mampu membentuk acuan dan pola kerja lebih sistematik dan berinovatif.

“Setiap warga perlu berusaha untuk berfikir di luar kotak, membuka ruang pemikiran untuk idea-idea yang lebih bermutu serta tidak terus berada di takuk yang lama.

“JKDM Sarawak bertanggungjawab memikul amanah bagi memastikan kita berupaya membantu negara meningkatkan hasil selain bertindak sebagai barisan hadapan untuk mengekang penyeludupan serta mencegah ketirisan hasil dengan memperhebat kawalan pintu keluar dan masuk negara.

“Peranan JKDM amat penting kerana kita merupakan satu agensi yang secara langsung menjadi tunjang dalam mengimbangi perubahan iklim ekonomi negara dengan melaksanakan pelbagai inisiatif di samping memastikannya dapat direalisasikan,” kata beliau.

Selesai Majlis Serah Tugas, kemuncak acara penuh istiadat turut dilangsungkan Majlis Perbarisan Paluan Berundur di Perkarangan Wisma Kastam Medan Raya.

Upacara ini diadakan sempena penghormatan kepada Sharifah Halimah pada hari terakhir menjalankan tugas sebagai Pengarah Kastam Negeri Sarawak dengan persembahan pasukan perbarisan yang terdiri daripada 15 pegawai kanan dan 29 pegawai lain-lain pangkat.

Sementara itu, Majlis Lambaian Kasih, Sanjungan Budi berlangsung meriah tapi penuh memori salah sebuah hotel termuka di sini, baru-baru ini bagi meraikan dan menghargai jasa Sharifah Halimah.

Majlis disemarakkan dengan tayangan video memaparkan biografi dan perjalanan kerjaya serta sumbangan selama bergelar Pengarah Kastam Negeri Sarawak.

Dato’ Sharifah Halimah dilahirkan pada 15 September 1960 merupakan anak jati Sarawak dan mula berkhidmat pada 1 November 1984 dan dinaikkan pangkat untuk menerajui kepimpinan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak mulai 5 Jun 2017.

Pada 15 September lalu, Sharifah akan menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat selama hampir 36 tahun.