Tiada ‘katak’ jika parti tidak terima mereka

BEKAS Ketua Menteri Sabah ke-13, Tan Sri Chong Kah Kiat ketika ditemu bual wartawan Bernama di kediamannya baru-baru ini. Beliau berkata ADUN yang melompat parti kononnya untuk membela nasib rakyat adalah alasan semata-mata dan sebaliknya demi kepentingan peribadi. • Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: ‘Katak’ tidak akan wujud di negeri ini sekiranya parti   politik   mempunyai pendirian yang tegas   untuk tidak menerima   wakil rakyat yang   berpaling tadah selepas mendapat mandat   rakyat pada pilihan raya   negeri   (PRN) Sabah.

Tokoh politik veteran Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat   berkata, jari tidak seharusnya ditunding kepada wakil rakyat   yang melompat atau keluar parti   tetapi parti yang menerima mereka turut bertanggungjawab dalam membendung masalah ‘katak’ di negeri ini sehingga boleh mengoncang kerajaan negeri.

Bekas Ketua Menteri Sabah ke-13 itu berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti kononnya untuk membela nasib rakyat adalah alasan semata-mata dan sebaliknya demi kepentingan peribadi.

Justeru, parti politik dan ADUN berkenaan harus bertanggungjawab atas perbuatan tidak berprinsip itu, katanya ahli politIk berusia 72 tahun itu yang kini menjadi presiden kehormat seumur hidup Parti Liberal Demokratik (LDP) kepada Bernama.

Chong memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri dari tahun 2001 hingga 2003 mengikut sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri Sabah.

Katanya, beliau keluar daripada arena politik kerana kecewa dengan sikap kurang jujur dan tidak berprinsip oleh pemimpin politik berpengalaman dan berpendidikan tinggi yang bertindak melompat parti.

Chong hampir hilang dari radar politik Sabah kira-kira 13 tahun   setelah   meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah pada 2007.

Beliau   kembali aktif dalam perjuangan parti apabila   menjadi calon LDP   bagi menghadapi saingan 10 penjuru   untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam pada PRN Sabah, 26 September ini.

Menurut Chong, rakyat memberikan mandat kepada   ADUN   untuk memberikan khidmat yang terbaik dan memberi kesejahteran hidup kepada komuniti   setempat.

Beliau berkata, tanpa integriti dan prinsip, seseorang pemimpin itu tidak akan mampu melaksanakan tugas dengan berkesan dalam menambah baik kualiti kehidupan rakyat, apatah lagi menjadi teladan kepada generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan negeri Sabah kelak.

Katanya, calon LDP berpegang kepada prinsip ‘cakap serupa bikin’ sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada pilihan raya kali ini dan bukan hanya bercakap sebagai modal politik bagi mendapatkan kuasa semata-mata.

Beliau berkata, pada PRN Sabah kali ini LDP akan   bersaing tanpa kerjasama   dengan parti   lain bagi memperjuangkan   isu   rakyat secara lebih berkesan terutama melibatkan pendatang   tanpa izin, pembangunan, pelaburan, pekerjaan, ekonomi dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

Mengakhiri perbualan Chong ditanya adakah beliau bersedia kembali ke kerusi Ketua Menteri Sabah sekiranya partinya mentadbir kerajaan negeri, beliau menyatakan sudah menjadi kebiasaan sekiranya menjadi pemimpin untuk bersedia terhadap segala   situasi.

“Sedia itu memang sudah sedia   tetapi di sini saya serah kepada rakyat   kerana mereka berhak menentukan pemimpin mereka sendiri,” katanya.

LDP bertanding di 46 daripada keseluruhan 73 kerusi pada pilihan raya ini. – Bernama