Produk keluaran Bumiputera perlu diperluas

LAWATAN… Datuk Dr. Abd Latiff (tengah) ketika melawat premis pemprosesan Lenispice Sdn Bhd di Kuching, Semalam.

KUCHING: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latiff telah mengadakan lawatan kerja ke Program Usahawan di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Sarawak di sini, semalam.

Beliau berkata, ekoran daripada lawatan tersebut pihaknya mendapati bahawa terdapat beberapa faktor halangan yang dialami oleh pengusaha dan pengilang Bumiputera yang perlu diperluaskan lagi.

Beliau berkata, produk-produk yang dihasilkan oleh kedua-dua usahawan tersebut adalah produk yang berkualiti tetapi perlu diperkembangkan lagi supaya mendapat hasil jualan yang memberangsangkan.

“Walaupun produk yang dihasilkan sangat bagus namun tanpa adanya bantuan pengiklanan sebagai platform pemasaran akan mengakibatkan produk itu tinggal di awangan sahaja.

Dr. Abd Latiff berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Program Usahawan di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Sarawak di Kuching di sini.

Sehubungan itu, pihak kementerian telah menyediakan beberapa inisiatif kepada usahawan terbabit bagi meningkatkan produk-produk keluaran dengan menggunakan platform digital online supaya produk sentiasa berpotensi dikembangkan ke tahap yang tinggi.

“Kita menyarankan agar usahawan menggunakan platform seperti Desamall@KPLB untuk memasarkan dan mempromosikan produk mereka kerana ini membolehkan produk keluaran tempatan ini menembusi pasaran global.

“Manakala dari sudut logistik, pengusaha perlu berfikir bagi menghantar barang dari lokasi ke destinasi penerima.

Tambah beliau lagi, salah satu cara untuk meningkatkan hasil jualan juga adalah dengan memastikan pelabelan produk-produk tempatan ini direka dengan menarik.

“Sekiranya produk yang dipasarkan mempunyai label yang menarik, ia akan dapat menarik perhatian pembeli. Selain itu, pengusaha juga dapat memasarkan produk dengan baik dan bukan hanya di Sarawak tetapi di seluruh dunia.

“Di samping itu, KPLB turut menyediakan platform bagi pengusaha untuk ‘design’ produk-produk mereka dengan melalui kerjasama bersama MARA. Turut hadir, Menteri Muda Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr. Hazland Abang Hipni

Oleh Jeakqleyn Yacho