Jawatankuasa teknikal tangani isu usahawan wanita

“Jawatankuasa itu akan melibatkan Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pelbagai agensi lain di bawah MEDAC, di samping beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan. Jawatankuasa ini akan menilai dan meneliti cadangan dan input untuk penambahbaikan yang akan dibawa dan diberi perhatian ke peringkat seterusnya.” • Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal pada kadar segera untuk mencari penyelesaian bagi menangani isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan wanita.

Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jawatankuasa itu akan melibatkan Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pelbagai agensi lain di bawah MEDAC, di samping beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan.

“Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi dialog tersebut ialah mengenai pembiayaan, latihan, isu muflis akibat pandemik, isu ibu tunggal dan maklumat yang tidak sampai di peringkat negeri.

“Jawatankuasa ini akan menilai dan meneliti cadangan dan input untuk penambahbaikan yang akan dibawa dan diberi perhatian ke peringkat seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog Keusahawanan Wanita 2020 yang julung kali diadakan, di sini semalam.

Beliau berkata cadangan penubuhan jawatankuasa itu akan dimaklumkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk mendapat kelulusan Kabinet.

Mengenai langkah untuk meningkatkan jumlah usahawan wanita yang kini sebanyak 20.6 peratus atau 187,000 daripada 907,065 perusahaan berdaftar, Mas Ermieyati berkata kerajaan menyasarkan peratusan yang lebih tinggi sebanyak 30 peratus pada tahun depan melalui penubuhan jawatankuasa itu.

“Dengan cabaran pandemik Covid-19, usaha sama dengan pelbagai pihak perlu terus ditingkatkan untuk mencari penyelesaian antaranya mengenai isu pembiayaan, latihan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata program itu diadakan sebagai tanda komitmen MEDAC yang berterusan untuk mengangkat martabat golongan usahawan wanita yang merupakan sebahagian daripada tonggak kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara.

Katanya hasil kajian SME Corporation Malaysia mendapati kira-kira 170,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana, mikro dan koperasi telah terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan pandemik Covid-19.

Selain itu, katanya berdasarkan kaji selidik MEDAC berhubung impak Covid-19 dan PKP terhadap usahawan, didapati sebanyak 8.85 peratus telah “gulung tikar”, 34.89 peratus mengalami penurunan eksport, 54.3 peratus mengalami penurunan jualan dan 58.5 peratus bersedia menceburi bidang perniagaan baharu.

Beliau berkata kerajaan sedar dan prihatin mengenai masalah yang dihadapi oleh usahawan yang terjejas akibat krisis pandemik yang dihadapi di seluruh dunia pada masa ini dan sedang mencari penyelesaian untuk memberi bantuan yang sepatutnya.- Bernama