MyMALAYSIA Week sasar lengkapkan generasi muda celik kewangan

“Saya percaya betapa pentingnya untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan celik kewangan selain menerapkan semangat perpaduan bagi membantu negara bergerak ke tahap yang lebih tinggi.” • Dr. Kris See

KUALA LUMPUR: MyMALAYSIA Week 2020 menyasarkan untuk meningkatkan tahap celik kewangan khususnya dalam kalangan generasi muda dengan melengkapkan mereka informasi dan pendidikan yang sebenar dalam menghadapi saat getir mendepani situasi pandemik Covid-19.

Pengerusi penganjur, Dr. Kris See berkata, data dan statistik terkini menunjukkan terdapat lebih dari 300,000 kes muflis, yang kebanyakannya membabitkan golongan muda.

“Saya percaya betapa pentingnya untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan celik kewangan selain menerapkan semangat perpaduan bagi membantu negara bergerak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya selepas pelancaran secara maya MyMALAYSIA Week 2020 di sini semalam.

Beliau berkata program satu minggu bermula 14 September itu terbuka kepada orang awam merangkumi enam program iaitu e-pameran, webinar, artikel celik kewangan, pertandingan mewarna, konsert muzikal dan kuiz  kewangan yang disediakan untuk semua kumpulan umur di negara ini.

“Sempena Hari Malaysia, kami juga menganjurkan webinar dalam empat bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil buat kali pertama dengan harapan dapat menjangkau semua rakyat Malaysia,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi pengasas MyLIFE (Persatuan Pendidikan Kewangan Literasi Malaysia) Amy Seok berharap inisiatif yang dijayakan dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan, persatuan, institusi pendidikan dan institusi kewangan akan memberikan tindak balas segera mengenai cabaran kewangan dan persoalan terutamanya terhadap simpanan dan pelaburan melalui platform dalam talian. 

Mereka yang berminat boleh melayari www.smeefair.com.my untuk maklumat lanjut.- Bernama