Jumlah permohonan dana mudah PKS bernilai RM10.4 bilion

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Jumlah permohonan bagi dana pinjaman mudah perusahaan kecil sederhana (PKS) yang telah  diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS berjumlah RM10.4 billion setakat 4 September 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar) berkata, dana yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu akan memberi manfaat kepada 22,688 PKS, meningkat daripada RM10.3 billion minggu lepas yang memanfaatkan 22,440 PKS.

“Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi & Digitalisasi (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF),” katanya dalam laporan LAKSANA ke-21 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) & Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) semalam.

Tengku Zafrul berkata, walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF.

PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai institusi kewangan untuk PKS.

Sementara itu, bagi Skim Kredit Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN), setakat 4 September, pembayaran telah dibuat kepada 10,695 PKS melibatkan jumlah sebanyak RM361.3 juta dan untuk Program TEKUN pula, pembayaran telah dibuat kepada 25,616 PKS melibatkan jumlah sebanyak RM194.02 juta, katanya.

Menyentuh mengenai program Subsidi Upah PENJANA, Tengku Zafrul berkata, program ini telah memanfaatkan lebih 2.62 juta pekerja dengan nilai yang diluluskan sebanyak RM10.41 bilion setakat 4 September.

Program subsidi upah merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat terjejas akibat Covid-19.

Dalam pada itu, sehingga 4 September, sebanyak RM267.4 juta telah disalur berdasarkan 827,974 tuntutan bagi elaun khas barisan hadapan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak Covid-19, katanya.

Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota angkatan pertahanan awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi pemandu teksi, kerajaan menyalurkan bantuan tunai one-off kepada 33,377 pemandu teksi berjumlah RM20 juta setakat 4 September, manakala seramai 7,622 pemandu pelancong  telah menerima bantuan tunai one-off berjumlah RM4.6 juta.

Sementara itu, bagi program bantuan majikan Covid-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebanyak 68,985 permohonan telah diterima dan daripada jumlah itu, 12,994 permohonan telah diluluskan bernilai RM84.5 juta sehingga 4 September 2020.- Bernama