Nadal bimbang kehadiran penonton

RAFAEL Nadal dari Sepanyol melakukan servis dalam sesi latihan pada hari pertama Jelajah ATP Internazionali BNL D’Italia di Foro Italico di Rome, Itali. • Foto AFP

PAKAR gelanggang tanah liat dari Sepanyol, Rafael Nadal meminta berhati-hati dengan Terbuka Perancis yang akan berlangsung di hadapan penonton akhir bulan ini berikutan pandemikn Covid-19.

Nadal yang akan berusaha memenangi gelaran Terbuka Perancis ke-13 di Paris, kembali menyertai pertandingan minggu ini di gelanggang tanah liat di Rom untuk pertama kalinya dalam tempoh enam bulan kerana wabak itu.

“Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku. Saya tidak tahu bagaimana keadaannya di Roland Garros,” kata pemain berusia 34 tahun itu kepada wartawan ketika disoal mengenai Terbuka Perancis.

“Mari kita lihat bagaimana virus itu berkembang beberapa minggu akan datang. Semoga dengan cara yang baik. Tidak kelihatan seperti itu, tidak? Mari kita lihat.

“Kita harus sabar dan kita perlu menunggu untuk melihat bagaimana keadaan bertambah baik,” katanya.

Pemain nombor dua dunia itu mampu menandingi 20 gelaran Grand Slam, Roger Federer sekiranya menang di Paris.

Terbuka Perancis yang ditunda daripada awal Mei hingga 27 September berupaya menampung sehingga 11, 500 penonton setiap hari.

Nadal kini bertanding merebut gelaran Terbuka Itali ke-10 minggu ini dalam Kejohanan Masters 1000 yang seperti Terbuka AS baru-baru ini akan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.

Pemain pilihan utama wanita, Simona Halep, pemenang Terbuka Perancis 2018, berkata dia “sangat yakin ia akan menjadi sangat tegas” di Roland Garros.

“Saya baru membaca bahawa mereka akan mempunyai peminat,” kata pemain dari Romania itu.

“Tetapi saya cukup yakin bahawa ia akan menjadi sangat tegas.

“Kami tidak boleh bersama peminat dan tidak dapat bersama dengan orang-orang yang tidak berada dalam gelembung, jadi saya rasa mereka akan terpisah.

“Semoga ia selamat, dan kita akan merasa seperti di sini, seperti dalam gelembung.” – AFP