Morbidelli luar biasa – Razlan

DATUK RAZLAN RAZALI

KEMENANGAN sulung pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT), Franco Morbidelli dalam kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) San Marino kelmarin adalah
kejayaan yang sepatutnya buat pelumba itu, kata Prinsipal Pasukan Datuk Razlan Razali.

Menurut beliau, pelumba kelahiran Rome, Itali berusia 25 tahun itu menunjukkan prestasi terbaik dengan bangkit dari kekecewaan setelah terlibat dalam kemalangan di GP Austria, bulan lepas.

“Ini adalah kemenangan yang luar biasa bagi Franco (Morbidelli). Memang patut, terutamanya selepas dia terlibat dalam kemalangan semasa perlumbaan pertama GP Austria,” kata Razlan dalam laman sesawang rasmi pasukan, www.sepangracingteam.com.

Dalam pada itu, Razlan turut memuji rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quartararo yang mempamerkan persembahan yang berani walaupun gagal melengkapkan perlumbaan selepas terjatuh ketika cuba mengejar
pelumba lain di hadapan.

“Dia masih berada di tempat kedua dalam kedudukan kejuaraan. Jadi, ia bukanlah suatu yang teruk dan saya yakin dia akan kembali memberi saingan yang hebat minggu depan,” katanya.

Morbidelli, yang memulakan perlumbaan di petak kedua, memimpin perlumbaan 27 pusingan sejak awal sehingga melintasi garisan penamat dengan catatan masa 42 minit 02.272 saat (s).

Rakan senegara, Francesco Bagnaia daripada Pramac Racing Team dan pelumba Sepanyol Joan Mir daripada Team Suzuki Ecstar,  di tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing ketinggalan 2.217s dan 2.290s.

Kemenangan Morbidelli membolehkan beliau naik ke tempat ketujuh dalam kedudukan Kejuaraan Motosikal Dunia bagi kelas MotoGP dengan 57 mata, sementara Quartararo kekal dengan 70 mata di tempat kedua selepas
enam perlumbaan.

Litar Dunia Misano sekali lagi akan menjadi tuan rumah kepada GP Emilia Romagna yang dijadualkan berlangsung hujung mingguini.-Bernama