Jadual Jelajah dibatal

JANG Ha-na dari Korea Selatan memenangi Kejuaraan Wanita BMW di Busan pada Oktober tahun lalu. Kejohanan tahun ini, bersama dengan semua acara LPGA di Asia, telah dibatalkan kerana adanya Covid-19. • Foto AFP

JELAJAH LPGA telah membatalkan acara di Korea Selatan dan Jepun kerana Covid-19, yang bermaksud litar golf wanita elit terpaksa membatalkan semua tujuh kejohanan Asia 2020 memberi tamparan terbaharu kepada kalendar sukan di benua Asia.

“Memandangkan sekatan perjalanan dan syarat kuarantin” BMW Ladies Championship pada 22-25 Oktober di Busan dan Toto Japan Classic pada 6 November di Ibaraki “tidak akan dilangsungkan pada tahun 2020”, kata kenyataan Jelajah LPGA yang dikeluarkan pada Selasa.

Pengumuman itu menyusuli keputusan membatalkan Buick Shanghai LPGA bulan depan di China dan Kejuaraan Swinging Skirt di Taiwan kerana langkah-langkah anti-virus yang ketat.

Pada awal Februari, sejurus setelah wabak virus pertama di Wuhan, jelajah tersebut terpaksa membatalkan LPGA Blue Bay China di selatan pulau Hainan, yang dijadualkan dilangsungkan pada awal Mac.

Hanya 10 hari kemudian, Kejuaraan Dunia Wanita yang berprestij di Singapura dan LPGA Thailand juga menjadi mangsa ketika negara-negara mulai mengenakan tindakan ‘lockdown’ dan kuarantin

Tujuh acara Asia berjumlah 13 juta dolar dalam wang hadiah. Jelajah LPGA telah dikuasai oleh pemain Asia sejak kemunculan Pak Se-ri bekas pemain nombor satu Korea Selatan lebih 20 tahun yang lalu.

Kejuaraan Dunia, yang dimenangi tahun lalu oleh Park Sung-hyun ranking kedua, adalah acara paling berprestij dalam Jelajah LPGA AS di luar lima kejuaraan utama, dengan 20 pemian teratas dan semua pemenang utama tahun sebelumnya di antara 66 pemain yang turut serta.

Tidak dapat melakukan perjalanan ke Asia, LPGA telah menambah kejohanan baru, Drive On Championship – Reynolds Lake Oconee, dari 22-25 Oktober di Georgia. – AFP