JBALB bekal air ke Kabong

KABONG: Walaupun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak Covid-19 yang berkuatkuasa kini namun petugas Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) terpaksa meredah situasi PKP demi menghantar bekalan air kepada penduduk yang terputus bekalan air bersih di sini sejak petang semalam.

Semalam sebanyak empat buah lori bergerak ke kawasan terjejas di Kampung Hulu Laut, Kampung Sungai Benang dan kampung sekitarnya susulan daripada masalah penduduk yang berdepan masalah air sejak beberapa hari lalu.

Proses penghantaran air bermula jam 2.45 petang dengan aset penghantaran air digerakkan dari Betong dan juga Saratok.

Semalam penghantaran air kepada penduduk memerlukan diteruskan oleh JBALB.

Menurut Jurutera Air Bahagian Betong, Tay Chiew Teck penghantaran air perlu dilakukan meskipun ketika PKP kerana penduduk sudah kehabisan bekalan air bersih.

Kata Tay lagi, penghantaran air turut dilakukan ke kampung lain di Daerah Kabong yang turut berdepan dengan masalah air.

Kata Tay, Kampung Gerigat adalah antara kampung yang masih berdepan dengan masalah air yang agak kritikal pada masa kini. Penghantaran air ke situ juga dilakukan secara berterusan.