SARES bekal elektrik 24 jam kepada 9 rumah panjang

KENANGAN… Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom bergambar bersama dengan wakil rumah Panjang di pedalaman selepas menyampaikan sijil penyerahan Projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) di Miri.

MIRI: Sembilan lagi rumah panjang dengan 630 isi rumah di kawasan Telang Usan menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam melalui inisiatif Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) baru-baru ini.

Sembilan rumah panjang yang mendapat manfaat daripada projek tersebut adalah termasuk, Long Ajeng, Ba’ Muboi, Lio Mato, Long Tungan, Long Selaan, Long Moh, Long Jeeh, Long Jekitan dan Long Tikan Sarawak Energy Berhad dalam kenyataan media semalam, mendedahkan sembilan kampung tersebut telah berkumpul di Kampung Lio Mato semalam untuk penyerahan rasmi sistem SARES yang baru dipasang dari pelaksana projek Sarawak Energy.

Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, SARES adalah sebagai gantian set generator diesel yang bising dan mahal dengan waktu operasi yang terhad, dan itu akan membuat perbezaan besar bagi kehidupan masyarakat di daerah terpencil di Sarawak.

“Saya tahu ini adalah perubahan yang besar kepada penduduk di sini, sebab saya juga pernah menetap di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Katanya, dengan adanya SARES, setiap isi rumah dibekalkan dengan 3,000Wh tenaga elektrik yang boleh diperbaharui setiap hari bagi memenuhi keperluan asas isi rumah luar bandar yang merangkumi lampu, kipas angin, televisyen, peti sejuk kecil dan periuk nasi.

“Sistem ini memberi kemudahan dan keselesaan kepada isi rumah ini kerana mereka tidak banyak keperluan untuk kerap pergi ke bandar untuk membeli peruntukan dan juga diesel untuk kegunaan generator mereka.

“Saya menyeru supaya Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pemimpin masyarakat setempat di kawasan tersebut, untuk menjaga sistem mereka yang baru dipasang ini dengan baik.

“Saya memberi jaminan bahawa Sarawak Energy akan terus memberikan sokongan teknikal setelah penyelesaian dan pelaksanaan projek tersebut,” katanya, dalam satu kenyataan media semalam.

Tambah beliau lagi, pada tahun 2009, hanya 56 peratus daripada Sarawak mempunyai liputan bekalan elektrik manakala pada akhir tahun 2019, liputan elektrik untuk penduduk di luar bandar telah meningkat kepada 93 peratus dengan jumlah liputan negeri sebanyak 97 peratus.

Jelasnya, ini adalah kerana banyak langkah strategik yang dilaksanakan sepanjang dekad yang lalu untuk memastikan setiap isi rumah terutamanya di luar bandar mempunyai akses kepada bekalan elektrik sepanjang 24 jam.

“Pada 2018, kami telah melancarkan Pelan Induk Elektrik Luar Bandar sebanyak RM2.37 bilion telah dipercepatkan untuk Sarawak, yang bertujuan untuk menyediakan akses kepada bekalan elektrik 24 jam untuk setiap kampung dan isi rumah di luar bandar Sarawak.

Ini termasuklah memperluas jangkauan infrastruktur penghantaran dan pengedaran di luar bandar dan menyasarkan rumah panjang terpencil untuk SARES.

“Kejayaan ini terbukti dengan lonjakan isi rumah elektrik, yang membolehkan kita untuk maju lebih jauh dalam matlamat utama kita agar setiap isi rumah di Sarawak menikmati bekalan elektrik sepenuhnya pada tahun 2025,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) Datuk Liwan Lagang, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai dan wakil daripada Sarawak Energy Berhad Dr Chen Shiun.

Oleh Jeakqleyn Yacho