Belia disaran ceburi industri penternakan

REBUT PELUANG… Razaili Gapor pada Majlis Penangguhan Kursus Asas Akuakultur Ternakan Udang Marin dalam Kolam di Kampung Beladin semalam.

BELADIN: Kursus Asas Akuakultur Ternakan Udang Marin merupakan salah satu usaha Kerajaan Sarawak membantu meningkatkan sektor pertanian dan ternakan di negeri ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata tahap pengeluaran bahan mentah dalam negara masih belum mencukupi dan beliau menyaran para belia mengambil peluang tersebut sebaik mungkin dengan melibatkan diri dalam industri penternakan.

“Ia juga adalah peluang kepada masyarakat di daerah ini untuk menceburi bidang pertanian dan ternakan dengan menggunakan ruang sedia ada bagi pengeluaran makanan dan menjana pendapatan tambahan.

“Saya menyaran terutamanya kepada golongan belia di sini agar merebut peluang ini sebaik mungkin dengan melibatkan diri dalam industri penternakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penangguhan Kursus Asas Akuakultur Ternakan Udang Marin dalam Kolam di Kampung Beladin semalam.

Razaili menambah, Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan bagi membangunkan sektor pertanian dan akuakultur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro yang dikenali sebagai salah satu kawasan bakul makanan Sarawak.

Beliau yakin dengan adanya kursus seperti itu dapat menarik minat banyak masyarakat untuk menjadi pengusaha akuakultur.

Beting Maro kata Razaili, zon pembangunan aktiviti pertanian dibahagi secara strategik untuk memastikan kampung-kampung di dalamnya mampu bertindak sebagai rakan aktif dalam merealisasikan projek bakul makanan Betong-Sarikei.

Beliau memberitahu, sebab itu penduduk di kawasan Beting Maro harus mendukung kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar agenda pembangunan aktiviti pertanian ini dapat direalisasikan.

“Dengan kedudukan yang strategik di tengah-tengah tiga laluan perhubungan utama negeri ini, Daerah Pusa dan Beladin amnya diyakini mampu berkembang pesat, membangun dan menjadi lokasi tumpuan utama selepas ini.

“Lebih menarik untuk diperkatakan, tahun ini sahaja penduduk sekitar bakal menyaksikan beberapa projek besar mula dilaksanakan, Daerah Pusa dilihat akan menjadi pusat pertembungan lebuh raya Pan Borneo, lebuh raya pesisir dan lebuh raya Ekspres.

“Ia sekali gus memberi kelebihan kepada daerah ini, selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan kawasan inj sebagai pusat pengeluaran makanan atau ‘food basket’,” ujar Razaili.

Oleh Adi Safarman