Generasi muda kaum Dayak perlu kuasai akademik, kemahiran

PERTAHAN GPS… Datuk Mong Dagang dan hadirin merakam gambar dengan bendera GPS pada Program Randau@Begunan di Kampung Kedaong, Tanjung Bijat, Sri Aman.

SRI AMAN: Golongan generasi muda kaum Dayak perlu menguasai akademik dan kemahiran di tahap lebih tinggi tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.

Menurut beliau, tindakan tersebut adalah amat penting agar anak-anak muda kaum Dayak mampu bersaing dengan lain-lain kaum dalam pelbagai lapangan pekerjaan di negeri ini apabila mereka menempuh alam dewasa kelak.

“Pelajaran adalah segala-galanya. Tanpa pelajaran maka adalah sukar untuk seseorang individu itu menggarap kehidupan yang lebih cerah dan bermakna apabila mereka mahu menceburi bidang kerjaya mengikut kehendak masing-masing.

“Justeru kuasailah pelajaran mulai sekarang. Pastikan anak-anak muda kita menguasai pelajaran di tingkat lebih tinggi agar kita mampu memperoleh penjawatan yang seeloknya apabila sudah bekerja nanti,” kata Mong.

Selain itu beliau ketika berucap merasmikan Program Randau@Begunan di Rumah Ujang, Kedaong, Tanjung Bijat di sini mengajak rakyat agar sama-sama mempertahankan kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya akan datang.

Tegasnya, tindakan itu adalah amat penting agar pelan dan projek pembangunan yang dirancang oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dapat diteruskan demi kebaikan rakyat negeri ini.

“Lagi pun visi Ketua Menteri untuk membawa Sarawak ke arah Digital Ekonomi kena pada masanya sebelum ini apabila memudahkan pengusaha kecil dan rakyat melakukan urusan jual beli ketika berlangsung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

“Justeru bantulah mempertahankan GPS di negeri ini. Ia penting agar projek-projek mega sedang dilaksana oleh GPS dapat dilaksana dalam suasana politik yang stabil dan harmoni selepas pilihan raya nanti,” kata beliau.

Mong pada program itu telah pun mengumum peruntukan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Bukit Begunan bernilai RM100,000 kepada Rumah Ujang, Kedaong, Tanjung Bijat.

Beliau juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM7,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ujang dengan RM4,000 lagi diperuntuk untuk biro wanita organisasi berkenaan.

Oleh Valentine Ngumbang