Syarikat pembinaan jalani semula kerja pembinaan

JAGA JARAK… Yusuf Abdul Wahab kelihatan turut serta pada majlis tersebut.

DARO: Bidang kontraktor boleh memberikan pulangan yang lumayan jika dijalankan dengan cara yang betul dan mengikut peraturan.

Berkata demikian baru-baru ini, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abdul Wahab, berharap lebih ramai penduduk tempatan terutama di kalangan belia akan berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Saya yakin ramai belia yang berminat dan ingin menjadi kontraktor dan program ini merupakan platform yang betul bagi memulakan kerjaya. Minat dan ilmu pengetahuan dalam bidang kontraktor adalah perkara asas untuk menjadi kontraktor,” ujarnya.

Dalam masa yang sama beliau juga menekankan tentang pentingnya keselamatan pekerja di dalam pelaksanaan sesebuah projek.

“Keselamatan pekerja juga harus dititik beratkan dalam industri pembinaan supaya tidak berlaku kemalangan semasa proses pembinaan,” tambah dia lagi.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi CIDB Malaysia (Construction Industry Development Board) menyata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Seminar Pembangunan Belia dan Kontraktor yang diadakan di  Pulau Bruit, dekat sini.

Yusuf juga berharap melalui program  berkenaan kontraktor dan belia yang terlibat dengan bidang pembinaan akan mendapat ilmu dan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi terlibat.

“Selain itu, program ini juga bagi memastikan kontraktor yang dipilih melaksanakan projek pembangunan sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Saya yang dilantik sebagai Pengerusi CIDB Malaysia  berasa gembira dengan program hari ini dan ini merupakan penghargaan kepada anda semua,” ujarnya.

Justeru, Yusuf menyatakan bahawa mereka  akan terus mengadakan program sama seperti ini bagi memberi ilmu pengetahuan kepada anak Sarawak.

“CIDB memainkan peranan yang sangat penting dalam industri pembinaan di Malaysia sekaligus juga merupakan petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan pendemik Covid 19. Kita mempunyai pelbagai program dalam membantu industri pembinaan negara melalui bantuan yang disediakan kepada kontraktor,” tambah Yusuf.

Beliau juga mendedahkan sebanyak RM70 juta telah disalurkan oleh CIDB dalam membantu kontraktor yang terkesan akibat pendemik Covid 19 baru-baru ini.

“ Sebanyak 98 % daripada syarikat pembinaan di Malaysia telah menjalankan semula kerja pembinaan selepas PKP yang dilaksanakan sebelum ini.  Saya sebagai Wakil Rakyat di kawasan ini berharap agar program ini memberi manfaat dan ilmu pengetahuan kepada peserta.  Terima kasih kepada agensi yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya lagi.

25 orang kontraktor dan 57 belia menyertai program yang berlangsung di  Dewan Masyarakat Kampung Tekajong, Pulau Bruit itu.

Turut hadir Pengarah CIDB Negeri Sarawak, Mohd Merzan  Hasyim, Pegawai Daerah Daro,  Bujang Rahman  Seli, Pengerusi CIDB Sarawak Norazirhan Sahat, Pengerusi CIDB Bahagian Bintulu, Wan Habib Wan Hamdan, Pengurus CIDB Cawangan Miri, Che Ahmad Isyai  Che Said dan Pemanca  Bujang  Razeli.

Program tersebut juga diselitkan juga dengan penyampaian sumbangan wang tunai sebanyak RM 400 kepada 3 orang pelajar berasal dari Pulau Bruit yang berjaya melanjutkan pendidikan ke IPTA.

Antara agensi yang terlibat ialah CIDB, MARA, PERKESO, MIWT Global Resources Sdn. Bhd,  SEDC,  Akedemi Binaan Malaysia (ABM) dan Giat Mara.

Oleh Henry B Siyu