PENJANA KPT-CAP bantu siswazah sesuaikan diri

MENTERI Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berucap pada majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia dan Institusi Pondok semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) – Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP) dijangka akan membantu siswazah menyesuaikan diri dengan tuntutan baharu pasaran kerja susulan penularan pandemik Covid-19.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, PENJANA KPT-CAP yang merangkumi tiga subprogram iaitu ‘Place and Train’ (skim latihan dan penempatan), keusahawanan dan ekonomi gig akan memberi kemahiran baharu serta meningkatkan kemahiran siswazah.

“Place and Train adalah program yang memberikan latihan kompetensi oleh pemain industri kepada peserta PENJANA KPT-CAP. Setelah tamat latihan, beberapa peserta berpeluang mendapatkan pekerjaan dalam industri yang terlibat.

“Program keusahawanan mendedahkan siswazah mengenai pengetahuan penting bagi memulakan syarikat termasuk kaedah mendapatkan dana. Sementara ekonomi gig pula akan memberikan latihan kompetensi yang akan membantu peserta menjana pendapatan secara freelancing,” katanya dalam kenyataan semalam.

PENJANA KPT-CAP yang akan bermula pada Oktober ini akan dikendalikan oleh ahli akademik, pengamal dan pemain industri di institusi pengajian tinggi terpilih di seluruh negara, bertujuan membantu siswazah menganggur pada 2019 dan mereka yang telah menamatkan pengajian pada 2020.

KPT menerima peruntukan RM100 juta di bawah PENJANA yang akan digunakan bagi menangani isu siswazah mengganggur. – Bernama