MIDA lulus 1,725 projek bernilai RM64.8 bilion

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pelaburan bernilai RM64.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama untuk enam bulan pertama 2020 walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi dunia.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata pelaburan ini melibatkan 1,725 projek dan akan mewujudkan 37,110 peluang pekerjaan.
”Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 69.8 peratus atau RM45.3 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM19.5 bilion,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Ia berkata, penyumbang terbesar FDI untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh tersebut ialah Singapura (RM4.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), China (RM2.2 bilion), Amerika Syarikat (RM2.2 bilion) dan Thailand (RM1.8 bilion).

MIDA berkata untuk projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor menyumbang RM47.1 bilion (72.6 peratus) kepada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk Januari hingga Jun 2020.

Sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan yang diluluskan untuk separuh pertama 2020 dengan menyumbang lebih separuh (55.1 peratus) atau RM35.7 bilion, diikuti sektor perkhidmatan dengan pelaburan sebanyak 44.2 peratus atau RM28.6 bilion dan sektor utama dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah 0.7 peratus atau RM0.5 bilion, menurutnya.

“Kerajaan, melalui MIDA, telah menerajui usaha untuk menarik pelaburan lestari, daripada sumber domestik dan asing yang akan memperkuatkan lagi ekosistem perniagaan di Malaysia,” menurut MIDA.

Selain itu ia berkata dari Januari hingga Jun 2020, sebanyak 1,316 projek dalam sektor perkhidmatan telah diluluskan dengan pelaburan bernilai RM28.6 bilion.

Pada Januari hingga Jun 2020, sektor utama menarik pelaburan bernilai RM471.0 juta.

Sektor ini merangkumi tiga subsektor utama iaitu perlombongan, pertanian serta perladangan dan komoditi.

MIDA berkata sehingga Julai 2020, sejumlah 732 projek dengan cadangan pelaburan sebanyak RM35.9 bilion sedang dalam perancangan untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun pelaburan asing dianggap penting dalam pembangunan negara, penekanan yang lebih besar sedang diberikan untuk mendorong pelaburan domestik dan mengubah lebih banyak syarikat domestik menjadi pemain global.

“Kita akan terus mengutamakan pecutan penerapan teknologi di semua segmen ekonomi dengan memanfaatkan potensi Industri 4.0 untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing Malaysia.

“Memastikan kesinambungan dan kemajuan perniagaan akan menjadi keutamaan apabila aktiviti perniagaan kembali ke tahap normal,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menerusi PENJANA, akan terus membantu para pelabur untuk melaksanakan projek mereka di Malaysia secara cekap dan berkesan dengan melonggarkan proses birokrasi, terutama pada masa ini.

Mohamed Azmin berkata, Unit Project Acceleration and Coordination (PACU) telah ditubuhkan di MIDA untuk memudah cara kelulusan perniagaan terutama perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan.

Beliau berkata PACU juga akan memastikan pelaksanaan projek yang diluluskan berjaya dalam tempoh 24 bulan.

“Kesemua syarikat asing dan tempatan diminta untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ada untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini,” katanya.