RMPA ambil tindakan perangi wabak AHS

GAMBAR FAIL… Pemain polo Malaysia Shaik Reisman Mohamed (dua,kanan) diasak oleh pemain Singapura pada acara polo ketika sukan Sea 2017 di Equestrian Park, Putrajaya.
•Foto BERNAMA

PERSATUAN Polo Diraja Malaysia (RMPA) memberi peringatan kepada ahlinya supaya meningkatkan langkah pencegahan susulan wabak Penyakit Kuda Afrika (AHS) di Thailand.

Setiausaha Eksekutifnya, Peter Ibrahim Abisheganaden berkata kebanyakan kelab polo di negara ini telah dinasihatkan agar mematuhi peraturan pencegahan yang ketat selepas lima ekor kuda dikesan menghidap virus itu di Terengganu baru-baru ini dan terpaksa dilupuskan untuk menghalang ia daripada merebak.

Peter yang juga Penyelaras Liga RMPA, mendedahkan tercetusnya wabak AHS dan Covid-19 telah menjejaskan rancangan RMPA untuk menganjurkan beberapa kejohanan polo tahun ini.

“Berikutan kes di Terengganu, Jabatan Perkhidmatan Veterina (DVS) telah menyekat pergerakan kuda, bermaksud kami tidak boleh menganjurkan kejohanan polo, yang biasa kami anjurkan setiap tahun,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

“Satu-satunya pertandingan yang berlangsung pada masa ini adalah di kelab polo dan bukan kejohanan di peringkat kebangsaan,” kata Peter.

Mengulas lanjut, Peter mendedahkan sekatan pergerakan kuda dikuatkuasakan pada April tahun ini dan kelab polo mesti mendapat pelepasan untuk melakukan perjalanan ke negeri lain selain mematuhi kriteria DVS yang ketat.

“Saya dimaklumkan bahawa Terengganu telah mengasingkan pergerakan kuda, Pulau Pinang sedang melakukan kuarantin sekarang, manakala di Kuala Lumpur kebanyakan kelab polo tidak membenarkan kuda datang dari mana-mana negeri,” katanya.

Beliau juga mendakwa kelab polo perlu membelanjakan jumlah yang besar untuk melindungi kuda-kudanya dari wabak itu terutama melakukan semburan membasmi kuman harian kandang kuda yang menelan belanja kira-kira RM5,000.

Justeru, Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) telah memberi amaran kepada pemilik kuda tempatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu, berikutan wabak AHS di Thailand.

Virus maut yang berasal dari Afrika itu, biasanya menjangkiti kuda, baghal dan keldai, dilaporkan telah menyebabkan kematian lebih 500 ekor kuda di Thailand.

Virus itu tersebar melalui serangga yang dijangkiti dan menyebabkan demam, masalah jantung dan pernafasan pada haiwan yang terjejas.- Bernama