INCEIF, BlNS bekerjasama terajui inovasi dalam kewangan islam

KUALA LUMPUR: Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) merancang kerjasama yang lebih erat dengan Bank lndonesia lnstitute (BlNS) untuk merealisasikan matlamat bersama menerajui inovasi dalam kewangan Islam dan ekonomi melalui penyelidikan dan latihan.

Bagi tujuan ini, INCEIF, yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada 2005, semalam memeterai Memorandum Komitmen (MoC) dengan BINS, sebuah jabatan di bank pusat Indonesia yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan latihan dan penyelidikan.

Dalam kenyataan, INCEIF berkata, kerjasama itu akan mewujudkan jaringan kerjasama yang akan mengukuhkan usaha antara universiti dan BINS dalam bidang pembangunan kurikulum, penyelidikan dan latihan.

Ini termasuk pertukaran fakulti, sarjana dan penyelidik serta sumber dalam kewangan Islam, katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Prof Datuk Azmi Omar (gambar) berkata, memandangkan dunia telah berubah dengan pesat dalam beberapa bulan ini, respons daripada industri perbankan Islam, kewangan dan ekonomi kepada perubahan ini mungkin menjadi saat yang penting.

Dalam mewujudkan pusat bertaraf dunia untuk pendidikan, penyelidikan dan latihan dalam kewangan Islam, yang penting ialah gabungan usaha kerjasama dalam kalangan penggiat industri, penyelidik, ahli akademik dan sarjana syariah, katanya.

“Kekurangan yang kritikal bagi tenaga kerja teknikal dalam industri kewangan Islam boleh ditangani jika semua peserta yang relevan dalam sektor kewangan Islam bersedia menjalin usaha bersama untuk meningkatkan tahap prestasi kewangan Islam,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan pada perbincangan panel bersempena pemeteraian MoC itu, Canselor dan Ahli Kehormat Lembaga BINS Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata nilai tambah kepada ekonomi dan memenuhi matlamat sosial antara prinsip asas ekonomi Islam dan kewangan Islam.

Penyelidikan gunaan perlu memberi tumpuan bukan hanya kepada instrumen kontemporari dan inovatif tetapi juga kepada cara untuk mengukur impak instrumen tersebut terhadap masyarakat dan mengenal pasti had dan jurang antara potensi pengeluaran dan pengeluaran sebenar, katanya.

Dengan pembaharuan kewangan yang dimulakan oleh komuniti antarabangsa selepas Krisis Kewangan pada awal 2000, keperluan kewangan pada masa depan bukan hanya perlu stabil dan berdaya tahan tetapi juga menjadi teras kepada asasnya, ekonomi sebenar dan menjana manfaat positif kepada masyarakat dan turut mengambil kira kelestarian alam sekitar, kata Zeti.- Bernama