32 SPOC peroleh sijil MSPO

TERIMA KASIH… Willie Mongin (tengah) menerima cenderamata daripada Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Muhtar Suhaili sambil diperhatikan oleh Ketua Pengarah MPOB Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

NIAH: Sarawak mempunyai 32 SPOC yang ditubuhkan telah memperoleh sijil MSPO dengan melibatkan 18,161 pekebun kecil dengan keluasan 101,307 hektar.

Keluasan kawasan tanaman sawit yang dipersijilkan adalah 50.15 peratus daripada jumlah keluasan kebun yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian iaitu 202,016 hektar di Sarawak.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin berkata demikian pada Majlis Program Jom MSPO Negeri Sarawak di Dewan Kampung Muhibbah Ladang Tiga di sini semalam.

Katanya, kementerian melalui MPOB akan melipat gandakan usaha untuk menangani cabaran dalam memastikan pekebun kecil tidak ketinggalan mendapatkan pensijilan MSPO.

“Sehingga 22 September 2020, seluas 5.14 juta hektar atau 87.1 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO.

“Manakala sebanyak 420 kilang buah sawit telah mendapat pensijilan MSPO atau 92.92 peratus daripada keseluruhan 452 kilang buah sawit,” jelasnya.

Sementara itu, bagi pekebun kecil persendirian, semua 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO.

Ini melibatkan penyertaan 78,623 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kawasan tanaman sawit sebanyak 243,515 hektar (24.69 peratus) dan pekebun kecil tersusun di bawah seliaan agensi persekutuan dan negeri, seramai 215,064 orang dengan keluasan 711,196 hektar (98.48 peratus).

Justeru itu, kerajaan memberi tumpuan penting kepada usaha mengukuhkan industri sawit termasuk memperkasakan pembangunan pekebun kecil bagi meningkatkan hasil sawit dan pendapatan.

Matlamat memajukan sektor huluan sawit dapat dicapai melalui penyertaan pihak industri dan pekebun kecil dalam melaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP) melalui Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), katanya lagi.

Oleh Adum Liu