Tingkatkan daya saing pasaran minyak sawit

TAHNIAH… Willie Mongin menyerahkan Sijil MSPO kepada salah seorang pekebun kecil pada Program Jom MSPO Negeri Sarawak di Dewan Kampung Muhibbah Ladang Tiga semalam. • Foto ADUM LIU

NIAH: Pelaksanaan Skim Pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) satu langkah strategik kerajaan bagi meningkatkan daya saing dan memperluaskan pasaran minyak sawit Malaysia di luar negara.

Ini adalah selari dengan keutamaan negara pengimport dan pengguna di seluruh dunia yang semakin memberi tumpuan kepada produk pertanian yang dihasilkan melalui pengeluaran mampan dan selamat untuk pemakanan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin dalam ucapan mewakili Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali di Program Jom MSPO Negeri Sarawak di Dewan Kampung Muhibbah Ladang Tiga di sini semalam.

Katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bersama agensi di bawahnya khususnya Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) sedang giat mempertingkatkan penyertaan pekebun kecil dan pengusaha sawit bagi mematuhi prinsip kemampanan Pensijilan MSPO.

“Saya difahamkan inisiatif MPOB telah meningkatkan penyertaan pekebun kecil persendirian melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan atau SPOC yang telah ditubuhkan di seluruh negara.

“Pekebun kecil yang menyertai SPOC akan dibantu oleh Pegawai TUNAS untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik bagi persediaan Pensijilan MSPO kebun sawit secara berkelompok,” jelasnya.

Tambahnya, Pensijilan MSP0 oleh pekebun kecil akan menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan.

“Pelaksanaan pensijilan mampan melibatkan kos bagi pematuhan kriteria amalan mampan yang ditetapkan, kerajaan amat prihatin terhadap kos yang ditanggung oleh pekebun kecil bagi membiayai pelaksanaan pensijilan MSPO.

“Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan insentif kepada pekebun kecil persendirian melaksanakan Pensijilan MSPO yang merangkumi kos yuran pensijilan, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan

perlindungan diri (PPE),” katanya lagi.

Justeru itu, pendek kata bahawa keseluruhan kos pensijilan MSPO pekebun kecil persendirian ditanggung oleh kerajaan.

Pada program itu turut diadakan tiga ceramah tentang MSOP untuk pekebun kecil persendirian, amalan pertanian baik (GAP) dan status terkini perlaksanaan MSOP.

Hadir di majlis itu ialah Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Pengerusi MPOCC Muhamad Suhaili, Ketua Pengarah MPOB Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan ketua-ketua masyarakat Daerah Subis.