SEEd.Lab rapatkan jurang pekerjaan belia

NAIB Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Md Arif Mahmood.

KUALA LUMPUR: Program Social Enterprise Education Lab (SEEd.Lab) yang dibangunkan bersama oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Tata Consultancy Services (TCS), komited untuk merapatkan jurang pekerjaan, memperkasa kalangan bakal pemimpin selain membentuk masa depan yang lebih mampan.

Pengurus Programnya, Aidonna Jun Ayub berkata, ia juga sejajar hasrat Seed.Lab agar proaktif bagi menyemai bakat atau tenaga kerja menerusi keusahawanan dan mewujudkan pekerjaan agar mempunyai kelebihan dalam pasaran kerja.

“Baik di serata dunia mahu pun Malaysia telah menyaksikan kebangkitan golongan muda yang mempunyai potensi serta kemampuan yang boleh diterokai.

“Penyelesaian menerusi SEEd.Lab ini adalah hasil semangat dan keazaman SEEd.lings (peserta) untuk merealisasikan matlamat sama bagi meningkatkan kehidupan dan menyalurkannya semula kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Md Arif Mahmood berharap program itu dapat dikembangkan menerusi kerjasama dengan penggiat lain dalam usaha menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara.

“Kita telah menyaksikan jurang ketara dalam inisiatif enterpris sosial bagi pembentukan pekerjaan dalam pasaran pesat membangun seperti Malaysia dan ini dijejaskan lagi dengan impak Covid-19.

“Kerjasama kita dengan TCS misalnya memaparkan komitmen untuk membangunkan usaha ke arah pembangunan negara sambil mempertingkat usaha sama bagi pewujudan nilai yang mapan,” katanya.

SEEd.Lab yang diwujudkan pada Januari lepas, merupakan inisiatif pertama di Malaysia yang merangkumi perjalanan menyeluruh peringkat awal pertumbuhan syarikat-syarikat pemula niaga. – Bernama