KPPK komited sokong industri minyak sawit

SESI DIALOG… Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Muhtar Suhaili ketika sesi dialog bersama beberapa pemegang taruh industri minyak sawit di Miri,semalam.

LIONG CHAI LING

MIRI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited dan akan terus memberikan sokongan kepada pemegang taruh industri minyak sawit di Sarawak untuk kemajuan industri minyak sawit negara.

Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Muhtar Suhaili berkata, KPPK amat menghargai usaha yang telah dilakukan oleh pemegang taruh industri minyak sawit yang berada di Sarawak terutamanya dalam usaha mereka bagi mendapatkan dan menyokong pensijilan MSPO di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, pihak kementerian juga amat menghargai keteguhan pemegang taruh industri minyak sawit Sarawak dalam mengharungi cabaran bagi mendapatkan dan menyokong penuh pensijilan MSPO. 

“KPPK amat mengalu-alukan cadangan untuk memperkasakan penggunaan minyak sawit MSPO sama ada di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa. 

“Pihak kementerian juga mengalu-alukan kerjasama di antara pemegang taruh industri minyak sawit Sarawak bagi mencipta pasaran baru di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa khas untuk produk sawit tempatan yang telah disijilkan MSPO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog dan Makan Malam MPOCC bersama pemegang taruh (stakeholders) industri sawit Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Muktar berkata, KPPK melalui Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) komited untuk meningkatkan taraf pensijilan MSPO di peringkat antarabangsa bagi memastikan produk tempatan yang telah mendapatkan pensijilan MSPO dapat dipasarkan dan diterima baik di pasaran antarabangsa. 

“KPPK melalui MPOCC berusaha untuk memberikan khidmat nasihat teknikal mengenai pensijilan MSPO, memberikan informasi status akreditasi badan-badan pensijilan yang bertauliah, mengendalikan aduan mengenai isu-isu pensijilan MSPO serta membangunkan dan mengoperasikan skim pensijilan MSPO bagi kebaikan industri minyak sawit Malaysia dan industri minyak sawit antarabangsa,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, MPOCC juga akan memastikan pematuhan terhadap standard yang telah ditetapkan di dalam skim pensijilan MSPO.

“Pelaksanaan skim pensijilan MSPO di peringkat ladang, kilang kelapa sawit serta rantaian bekalan industri minyak sawit harus dipatuhi dengan tahap pelaksanaan yang tinggi,” katanya.