87.1 peratus tanaman sawit di Malaysia dapat sijil MSPO

“Di Sarawak pula, 32 SPOC yang ditubuhkan telah memperoleh sijil MSPO dan melibatkan 18,161 orang pekebun kecil dengan keluasan 101,307 hektar.” • Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR: Sehingga 22 September 2020, seluas 5.14 juta hektar, atau 87.1 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Manakala 420 kilang sawit, atau 92.92 peratus telah mendapat pensijilan MSPO daripada keseluruhan 452 kilang buah sawit,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi pekebun kecil persendirian, Mohd Khairuddin berkata, semua 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO, dan ini melibatkan penyertaan 78,623 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kawasan tanaman sawit sebanyak 243,515 hektar (24.69 peratus) dan 215,064 pekebun kecil tersusun di bawah seliaan agensi persektuan dan negeri dengan keluasan 711,196 hektar (98.48 peratus).

“Di Sarawak pula, 32 SPOC yang ditubuhkan telah memperoleh sijil MSPO dan melibatkan 18,161 orang pekebun kecil dengan keluasan 101,307 hektar.

“Keluasan kawasan tanaman sawit yang dipersijilkan adalah 50.15 peratus daripada jumlah keluasan kebun yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian iaitu 202,016 hektar di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bersama agensi di bawahnya, khususnya Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), sedang giat mempertingkatkan penyertaan pekebun kecil dan pengusaha sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan pensijilan MSPO.

“Pensijilan MSPO oleh pekebun kecil akan menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan insentif kepada pekebun kecil persendirian untuk melaksanakan pensijilan MSPO yang merangkumi kos yuran pensijilan, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

“Kerajaan amat prihatin terhadap kos pematuhan kriteria amalan mampan yang ditanggung oleh pekebun kecil bagi membiayai pelaksanaan pensijilan MSPO.

“Oleh itu, keseluruhan kos pensijilan MSPO pekebun kecil persendirian ditanggung oleh kerajaan,” katanya. -Bernama