Ekuiti tempatan alami tekanan dari pelbagai sudut

PENINGKATAN keuntungan luar biasa membabitkan saham sarung tangan.

KUALA LUMPUR: Peningkatan keuntungan luar biasa membabitkan saham sarung tangan, yang mendapat manfaat daripada krisis kesihatan telah meletakkan pasaran saham Malaysia pada kedudukan yang kukuh, sekali gus mendorongnya untuk muncul sebagai salah satu bursa paling kuat di Asia.

Namun begitu, tekanan dapat dirasai dan menjalar masuk dari pelbagai sudut.

Pasaran saham mengalami kemerosotan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan oleh kebimbangan yang kian meningkat dalam persekitaran pasaran tempatan.

Data Bloomberg menunjukkan bahawa penjualan asing saham-saham Malaysia meningkat minggu lalu, dengan aliran keluar mencapai AS$5 bilion setakat tahun ini — kadar terpantas sejak 2015.

Sementara saham berkaitan penjagaan kesihatan terus menjadi kegemaran pelabur runcit tempatan dan asing, kaunter kewangan sebaliknya pula mengalami tekanan dengan mencatatkan penurunan minggu ke minggu.

Terdapat dua jenis pelabur dalam pasaran ekuiti iaitu pelabur institusi (berkaitan kerajaan, dana pencen, dana amanah) dan pelabur runcit atau pelabur individu.

Sementara pelabur institusi cenderung memberikan sokongan kepada pasaran tempatan semasa penurunan untuk keuntungan jangka panjang, pelabur runcit pula lebih kepada melabur untuk keuntungan jangka pendek.

Menurut data dalam tempoh Isnin hingga Khamis, sejumlah RM217.9 juta aliran keluar runcit telah dicatatkan sementara aliran keluar dana asing pula sebanyak RM225.6 juta.

Kegiatan jualan secara besar-besaran dapat disaksikan pada kaunter-kaunter di Pasaran Ace pada hari Khamis dan Jumaat selepas negara dikejutkan dengan pengumuman berkaitan situasi politik tempatan.

Bagaimanapun, pada Jumaat, beberapa kaunter terpilih bangkit kembali dengan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI mengakhiri urus niaga lebih tinggi pada 1,509.14, meningkat 8.34 mata. Peningkatan semula ini dipacu terutamanya oleh Hartalega dan Top Glove walaupun 19 kaunter lain berada dalam zon merah.

Seorang penganalisis berkata, dalam minggu-minggu mendatang, beberapa aspek penting perlu dipantau kerana bursa tempatan dijangka berada dalam situasi tidak menentu yang berterusan.

“Dengan berakhirnya moratorium pada 30 September ini, saham perbankan dijangka mengalami kemerosotan berikutan kebimbangan berlakunya peningkatan dalam pinjaman tidak berbayar seiring dengan prestasi bank global.

“Ini boleh menjuruskan kegiatan menjual untuk mendapatkan keuntungan dalam kalangan pelabur runcit terutamanya ke atas saham bermodal kecil dan sederhana,” kata beliau.

Beliau menambah, kestabilan politik tempatan turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur terutamanya bon-bon MGS.

“Kestabilan dalam pasaran tempatan penting kerana sebarang berita tidak menyenangkan boleh mengehadkan keuntungan di pasaran modal,” jelas beliau. – Bernama