Sokong pemimpin bawa pembangunan

BEKERJA KERAS… Abang Johari melihat sendiri perancangan sistematik kawasan Lawas yang dirancang teliti oleh Awang Tengah.

LAWAS: Sokongan berterusan rakyat kepada pemimpin yang telah bekerja kuat amat diperlukan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri Sarawak akan tetap diadakan selepas cukup tempoh lima tahun dan rakyat perlu menyokong pemimpin yang telah bekerja keras membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada mereka.

Berucap pada Majis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Punang semalam, beliau mahu rakyat di Bukit Sari Lawas untuk terus menyokong Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari.

“Kita mahu kali ini Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan menang lagi tanpa perlu ditandingi kerana beliau seorang pemimpin yang amat kuat bekerja untuk Lawas dan Sarawak,” ujarnya.

Abang Johari turut mengimbau ketika mula bertemu Awang Tengah di Oya yang suatu ketika dahulu adalah Pegawai Daerah Dalat.

Selepas itu, beliau telah membawa Awang Tengah bersamanya di Kementerian Pertanian sebelum diletak sebagai calon Parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lawas pada 1987 dan akhirnya menang.

“Sekarang Awang Tengah masih bekerja dengan saya dalam satu pasukan mantap demi Sarawak,” tambah beliau.

Turut hadir, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Henry Sum Agung, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, , Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan kenamaan lain.

“Selepas menjadi Ketua Menteri, saya dan rakan-rakan meneruskan kerja dan mencari jalan untuk meningkatkan ekonomi dan membantu rakyat,”ujarnya lagi.

Malah, katanya Sarawak juga berjaya mendapatkan haknya terhadap Petronas dan anak-anak syarikatnya yang telah membayar Cukai Jualan Negeri (SST) bagi produk petroleum lebih RM3.1 bilion.

Oleh Adeng Edrus