500 peserta bakal sertai IDECS 2020

KENANGAN… Datu Dr.Sabariah Putit merakam gambar bersama Dr. Zaidi Razak, Dr. Asleena Datuk Helmi, Dr. Anderson Tiong dan Profesor Jugdutt (Jack) Singh.

KUCHING: Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak ke-4 (IDECS) 2020 kali ini bakal tampil dengan kelainan iaitu hanya 500 peserta dibenarkan hadir pada persidangan secara langsung dan selebihnya turut serta melalui webinar.

Timbalan Setiausaha Negeri, Datu Dr. Sabariah Putit berkata, jumlah peserta kali ini adalah terhad kepada 500 sahaja yang mana peserta akan menghadiri acara tersebut secara langsung pada hari pertama, manakala, bagi hari kedua ia akan diadakan secara webinar.

“Ini adalah disebabkan kita masih dalam situasi pandemik Covid-19 dan perlu patuh akan prosedur operasi standard (SOP) iaitu mematuhi kapasiti maksimum.

“Namun, kami menganggap perkara ini adalah peluang bagi kita untuk memanfaatkan platform digital yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sejak 2017 dan kita amat menghargainya,” katanya.

Beliau berkata, persidangan dua hari yang bertemakan ‘Data and Innovation Accelerating Social and Economic Prosperity’ akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 7 dan 8 Oktober depan.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka merasmikan acara itu pada 7 Oktober, 10.00 pagi.

“Persidangan ini juga merealisasikan usaha Ketua Menteri kita dengan mengumpul semua peserta secara atas talian melalui platform digital.

Berdasarkan kemampuan kita, saya rasakan kita sudah semakin maju dalam era digital,” ujarnya.

Beliau turut mengatakan IDECS kali ini dapat menjangkau penglibatan yang lebih luas dari masyarakat luar kerana dapat menonton siaran langsung oleh pembicara utama pada hari pertama yang akan disiarkan secara langsung.

“Melalui penstriman langsung Facebook, kami jangka lebih banyak yang menyertai iaitu mungkin melebihi 5,000 orang di seluruh negeri,” jelasnya.

IDECS 2020 akan menampilkan Profesor Stephanie Garelli dari Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) Lausanne, dan juga Pengasas dan Pengarah Kreatif Zuckerberg Media, Randi Zuckerberg sebagai pembicara utama pada hari pertama.

Selain itu, untuk sesi trek pada hari kedua, barisan pakar seperti Inma Martinez, pembentang utama IDECS 2019, dan Profesor Suk-Young Kim, pakar Multimedia K-POP, akan menyampaikan topik mereka.

Antara topik sub tema yang boleh disertai adalah seperti Significant of Data in Health Pandemic; Data Centre and Innovation – The New Oil; Competing in The Age of A.I; Human Development in Multimedia; Competitive Advantage of KPOP through Digital Media; Impact of Covid-19 on Online Retail; Nanotechnology in Commercial Agriculture; and Reimagining Energy.

Bagi peserta pula, bayaran pendaftaran bagi yang menghadiri acara secara langsung di BCCK adalah RM1,200 seorang manakala, bagi hari kedua pula, peserta boleh memilih trek program yang ingin disertai secara atas talian dan membayar RM100 setiap trek.

Siaran secara langsung pelancaran akan disiarkan di platform Facebook TV Sarawak (TVS) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Peserta dari sektor awam dan swasta digalakkan untuk menyertai acara ini dan untuk maklumat lebih lanjut, mereka boleh melawati laman sesawang idea.sarawak.gov.my.

Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr. Zaidi Razak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak, Dr. Asleena Datuk Helmi, CEO Sistem Informasi Sarawak, Dr. Anderson Tiong dan Ketua Penasihat SMA, Profesor Jugdutt (Jack) Singh.

Oleh Alexandra Lorna