Penduduk kampung tarik nafas lega

FOKUS… Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi (tiga, kiri) ketika mendengar penjelasan mengenai Projek Rakyat yang dijalankan di Kampung Bintawa Ulu daripada Ketua Bahagian Penyelenggaraan Infrastruktur Ir. Zaidi Pathi (kanan) sambil disaksikan oleh Ketua Kaum kampung Bintawa Ulu Ashmat Lamat (dua,kanan).

KUCHING: Projek menaiktaraf dan membina baharu jalan kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai akan dilaksanakan secara berterusan kata Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Menurut Menteri Muda (Hal Ehwal Islam & Dewan Bandaraya Kuching Utara) berkata, kesemua projek yang dibina adalah menggunakan peruntukan dana daripada Kerajaan Negeri menerusi Projek Rakyat.

Katanya, melalui Projek Rakyat tersebut banyak jalan raya kampung di kawasan tersebut telah dinaiktaraf dan diperbaiki untuk memudahkan masyarakat di kawasan itu.

“Banyak jalan kampung di kawasan kita mengalami kerosakan dan perlu diberi perhatian untuk dibaiki dan dinaiktaraf segera.

“Ini adalah kerana jalan lama yang terdapat di kampung ini telah berada dalam keadaan yang menyukarkan penduduk dan jalan raya tersebut telah dibina 10 tahun dahulu dari segi ketahanan, ianya tidak tahan lama dan perlu dibaiki dari semasa ke semasa.

‘Melalui dana ini, (Projek Rakyat) kita dapat membaiki jalan yang rosak yang mana ia merupakan keperluan rakyat di kawasan ini.’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Lorong 13 Kampung Bintawa Ulu, semalam.

Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi turut berkata, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa berusaha untuk membangunkan projek yang memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat.

‘Ini adalah usaha yang baik yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri untuk memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat di Sarawak sekali gus membolehkan rakyat di kawasan tersebut menikmati kemudahan prasarana yang lebih baik pada masa hadapan.

“Memang sejak daripada dahulu, kita memang memberi perhatian kepada kemudahan asas yang dibangunkan kepada kemudahan asas yang dibangunkan Kerajaan Negeri menerusi pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan oleh agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), DBKU dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, bagi Ketua Kaum Kampung Bintawa Ulu Ashmat Lamat, 76, berkata, projek menaiktaraf dan membina jalan baharu di Kampung Bintawa Ulu telah memberi harapan baru kepada penduduk di kawasan tersebut.

Katanya, sebelum ini jalan kampung dalam keadaan rosak teruk dan berlubang disebabkan tidak pernah dibaiki dan dinaiktaraf.

“Sekarang, kami dapat menarik nafas lega kerana jalan kampung semakin bertambah baik selepas dibaiki dan keadaan jalan sekarang tidak seperti dahulu.

“Saya juga berharap agar penduduk kampung di sini untuk terus menyokong kepimpinan Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi supaya lebih banyak lagi projek baru diperkenalkan di kampung ini.” katanya.

Sementara itu, Amin sulaiman, 59, penjawat swasta berkata, pihaknya berharap agar sistem perparitan di kampung diselesaikan segera.

“Terima kasih kepada Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi kerana peka dengan keperluan penduduk kampung, selepas ini kami berharap agar masalah sistem perparitan dapat diselesaikan segera kerana sistem perparitan yang ada di kampung ini tidak teratur.”ujarnya.

Oleh Jeakqleyn Yacho