Tingkatkan sentimen pengguna, pelabur

“Tanpa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua di seluruh negara, bacaan IP menunjukkan tempoh sukar sudah berakhir untuk ekonomi Malaysia. Ia merupakan isyarat yang menggalakkan bahawa Malaysia pulih daripada penguncupan 17.1 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua dan ini akan berterusan pada separuh kedua tahun ini.” — Profesor Dr. Yeah Kim Leng

KUALA LUMPUR: Jangkaan positif dalam Indeks Pelopor (IP) akan membawa kepada sentimen pelabur yang lebih baik, meningkatkan perbelanjaan pengguna dan perniagaan, kata ahli ekonomi.

Ahli Ekonomi Sunway University Business School, Profesor Dr. Yeah Kim Leng berkata walaupun trend meningkat dilihat dalam IP tidak mengukur tahap pemulihan ekonomi, perbelanjaan yang lebih tinggi membolehkan perniagaan pulih dan mengekalkan pekerjaan.

“Tanpa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua di seluruh negara, bacaan IP menunjukkan tempoh sukar sudah berakhir untuk ekonomi Malaysia.

“Ia merupakan isyarat yang menggalakkan bahawa Malaysia pulih daripada penguncupan 17.1 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua dan ini akan berterusan pada separuh kedua tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Minggu lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan IP pada Julai 2020 berkembang 7.7 peratus kepada 109.2 mata daripada 101.4 mata pada Julai 2019.

Bagaimanapun, katanya sejak pandemik Covid-19 terus meningkat, ekonomi dunia terus berhati-hati dan perlu bersedia untuk sekatan pergerakan yang kedua.

“Jika terdapat peningkatan semula jangkitan, dijangka hanya kawasan yang terjejas akan menghadapi sekatan pergerakan yang ketat. Ini akan mengurangkan impak ekonomi yang negatif kepada seluruh negara.

“Penting untuk membendung pandemik supaya pemulihan ekonomi dapat dikekalkan,” katanya.

Walaupun menghadapi ancaman pandemik, Ahli Ekonomi Bank Islam Adam Mohamed Rahim berkata petunjuk seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia telah kembali kepada pertumbuhan positif sebanyak 1.2 peratus pada Julai ini untuk kali pertama sejak Februari.

“Mengikut sektor, jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif meningkat pada Ogos tahun ini sebanyak 3.2 peratus berbanding Ogos tahun lepas.

“Trafik penumpang di lapangan terbang Malaysia telah meningkat untuk bulan keempat berturut-turut berikutan sekatan untuk perjalanan antara negeri telah dilonggarkan,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menyambung semula projek meganya dengan lancar, Adam berkata, pelaksanaan projek infrastruktur awam baharu dalam jangka pendek dijangka tidak berlaku, berdasarkan kekangan fiskal kerajaan.

Bagaimanapun, katanya mungkin terdapat aliran berita mengenai Mass Rapid Transit (MRT) Laluan 3 dalam belanjawan akan datang berikutan antara “projek infrastruktur yang berada pada peringkat kerja-kerja dapat dimulakan” yang akan memulihkan ekonomi.

Adam juga berkata, kerja pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah disambung semula pada April tahun ini, dengan dijadualkan siap pada Disember 2026.

“Projek ECRL yang bernilai RM44 bilion itu dianggap sebagai pencetus perubahan dalam mengubah landskap ekonomi negara, terutamanya di kawasan jajaran laluan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Selangor,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini, pelabur asing telah menjual lebih RM20 bilion ekuiti tempatan bersih pada tahun ini. – Bernama